Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Sekolah-sekolah di Sabah tidak diwajibkan untuk menguatkuasakan arahan ‘Minggu Solidariti Palestin’ yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), kata ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe.
Beliau berkata, beliau menerima pengesahan mengenai perkara ini daripada Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.
KPM baru-baru ini mengeluarkan pekeliling yang menetapkan 29 Oktober hingga 3 November sebagai “Minggu Solidariti Palestin” dan mengarahkan semua sekolah di seluruh negara untuk mengadakan acara ini bagi menyokong Palestin, yang baru-baru ini terlibat dalam konflik Palestin-Israel. Perkara ini telah mencetuskan kontroversi dan tentangan daripada pelbagai pertubuhan dan badan bukan kerajaan di Sabah.
“Sebagai wakil rakyat, saya juga amat prihatin dengan isu ini.
“KPM dan Kerajaan harus menjauhkan semua sekolah dan institusi pendidikan di Malaysia daripada konflik politik antarabangsa, pertikaian agama dan peperangan. Pelajar harus hadir ke sekolah untuk memperoleh pengetahuan dan bukannya terlibat dalam protes dewasa di seluruh dunia. Pelajar muda tidak seharusnya diseret ke dalam konflik Palestin-Israel yang berterusan.
“Malam tadi, selepas menamatkan lawatan rasmi ke Brunei Darussalam, saya terus mendapat pengesahan melalui pesanan ringkas daripada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bahawa sekolah di Sabah dan Sarawak mempunyai kelonggaran untuk memilih sama ada mengadakan “Minggu Solidariti Palestin” atau tidak.
“Saya percaya aktiviti ini bukan sahaja tidak digalakkan di Sabah malah tidak boleh dilakukan di seluruh Malaysia. KPM harus menggalakkan sekolah untuk mengajar kepentingan keamanan dan bukannya melibatkan kanak-kanak, yang tidak mempunyai keupayaan untuk menilai, dalam gerakan politik yang kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan sokongan kemanusiaan, beliau menerima pendirian Kerajaan Perpaduan yang menyokong Palestin.
“Bagaimanapun, saya menegaskan pelajar bawah umur tidak sepatutnya menyertai sebarang bentuk kegiatan politik terutama terlibat dalam konflik di luar negara kerana ia akan menjejaskan perkembangan fizikal, mental dan rohani pelajar bawah umur.
“Saya sangat menentang tindakan perang dan keganasan dan berdoa untuk penyelesaian awal kepada konflik Palestin-Israel, membolehkan penduduk tempatan kembali ke hari aman,” katanya.


































