Wan Suraya menyampaikan Sijil Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan MUIS 2022 kepada Arifin (tiga dari kiri) sambil disaksikan Malai (dua dari kiri), Ramlan (kiri) dan Patimah (tiga dari kanan).
KOTA KINABALU: Kutipan zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) meningkat 11 peratus, kata Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Dalam kenyataannya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penutup Pengauditan Penyata Kewangan MUIS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 di sini pada Isnin, beliau memaklumkan, kutipan yang berjumlah RM132.68 juta pada tahun 2022 itu meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM119.5 juta pada tahun 2021.
Menurutnya, sebanyak RM120.51 juta (90.8%) daripada jumlah kutipan tahun 2022 telah diagihkan kepada penerima zakat dengan penerima terbesar adalah Hak Fakir iaitu berjumlah RM53.55 juta bersamaan dengan 44.4 peratus.
Pada majlis tersebut Wan Suraya turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak MUIS di atas trend peningkatan kutipan zakat tersebut dan menyarankan agar MUIS meningkatkan tata kelola pengurusan kewangannya selaras dengan peraturan kewangan mengikut hukum syarak bagi meningkatkan keyakinan pembayar zakat di negeri ini.
Turut berlangsung, majlis penyampaian Sijil Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan MUIS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif bagi pihak MUIS dan kerajaan negeri.
Hadri sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas) Datuk Sapdin Ibrahim; Timbalan Yang Di-Pertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad; Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali serta Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi), Patimah Ramuji.


































