Penyokong bola sepak yang ditahan kerana menghalang tugas polis pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak Khamis.
IPOH: Seorang penyokong bola sepak yang ditahan ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak di sini Khamis, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 25 tahun itu dikenakan hukuman denda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang tugas polis.
Katanya, pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Kejadian semasa perlawanan sekitar pukul 11.15 malam itu berlaku apabila seorang lelaki tempatan ditahan kerana menghalang tugas pegawai polis dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Lelaki yang didapati positif ganja itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, tangkapan turut dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun di Pintu B, Stadium Perak pada pukul 8.45 malam.
Katanya, lelaki itu ditahan kerana membawa sebilah pisau pendek semasa pemeriksaan keselamatan oleh pasukan polis.
“Lelaki itu ditahan reman selama dua hari untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Pihak siasatan bagaimanapun telah memperoleh arahan pertuduhan ke atas suspek dan dia akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin depan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan pasukan polis menangkap dua lelaki di mana seorang daripada mereka hanya memakai seluar pendek berwarna hitam.
Pada perlawanan di hadapan 21,613 penonton Khamis, JDT mengatasi pasukan tuan rumah dengan jaringan 4-1.

































