Penyokong Manchester United menolak pemilikan keluarga Glazer dan mendesak hartawan Amerika Syarikat itu agar menjual kelab.
LONDON: Saham Manchester United menjunam selepas tersebar khabar angin keluarga Glazer membatalkan hasrat menjual gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kelab itu disenaraikan di bursa saham sejak 2012 dan kejatuhan terbaharu adalah yang paling teruk dalam tempoh 11 tahun sebagai syarikat awam.
Saham Red Devils di New York Stock Exchange jatuh lebih 600 juta pound (RM3.52 bilion) atau 16 peratus selepas media Britain melaporkan pemilik kelab menangguhkan penjualan.
Difahamkan keluarga Glazer tidak gembira dengan bidaan diterima sepanjang tempoh rundingan, sekali gus mahu menghentikan proses penjualan dengan harapan mendapat bidaan lebih tinggi.
Nilai pasaran saham kelab itu merosot daripada 3 bilion pound (RM17.61 bilion) kepada 2.4 bilion pound (RM14 bilion) pada hari pertama dagangan kelmarin susulan Isnin adalah Hari Buruh di Amerika Syarikat (AS).
Glazer sebelum ini dikatakan menuntut sehingga 10 bilion pound (RM58.7 bilion) untuk melepaskan pegangan dalam United.
Keluarga tersebut mengumumkan tahun lalu mereka sedia menjual sama ada sebahagian atau keseluruhan kelab.
Hanya hartawan Qatar, Sheikh Jassim dan usahawan Britain, Sir Jim Ratcliffe tampil sebagai pembida serius tetapi gagal menepati tuntutan pemilik United.
Difahamkan, Glazer bercadang mengeluarkan kelab dari bursa dan hanya menyenaraikan semula apabila bersedia menjual United pada 2025 bagi menarik lebih ramai pembida.
Keluarga Glazer berdepan isu berpanjangan dengan penyokong United sepanjang 18 tahun pemilikan mereka.
Sejak beberapa tahun lalu, peminat telah mengadakan protes mendesak Glazer meninggalkan kelab.
Mereka tidak popular dalam kalangan penyokong yang mendakwa keluarga itu meningkatkan hutang pasukan selain tidak membuat pelaburan yang cukup bagi membolehkan kelab kekal kompetitif.
Legenda United, Gary Neville turut menyelar pendekatan keluarga Glazer dalam proses penjualan.
“Saya tidak percaya Glazer tidak mahu menjual kelab kerana mereka perlu melakukan sesuatu.
“Mereka kehabisan wang dan keadaan kewangan pula amat terdesak,” katanya.