PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia mempertimbang mengguna pakai rangka kerja kawal selia yang dilaksana di Australia dan Kanada sebagai langkah ke arah kawal selia saluran digital dan menangani landskap media dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta SKMM juga telah berbincang dengan saluran dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia.
“Mencontohi kedua-dua negara iaitu Australia dan Kanada, penglibatan kementerian dan SKKM dengan saluran dalam talian menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani cabaran pasaran digital.
“Cabaran dihadapi termasuk penyebaran kandungan memudaratkan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menyentuh 3R (race, religion dan royalty), penipuan dan pancingan data, penjualan dan promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, penyebaran maklumat dan berita palsu,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Keputusan itu dicapai selepas kementerian dan SKMM mengadakan perbincangan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa dan Pengerusi SKKM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Isnin.
Perbincangan dengan saluran dalam talian iaitu Meta dan Google bagi menangani cabaran media dalam talian turut dihadiri anggota suruhanjaya SKKM, Derek Fernandez dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, katanya, susulan kelulusan Mandatory News Media Bargaining Code yang pertama di dunia, Google dan Meta telah membuat perjanjian pampasan sukarela dengan saluran-saluran berita, contohnya, berhubung kepentingan pampasan yang adil.
“Begitu juga dengan rang undang-undang C-11 Kanada yang bertujuan mengawal selia platform penstriman dan yang menggalakkan sokongan terhadap kandungan berkaitan Kanada.
“Antara cabaran yang dihadapi adalah ketidakseimbangan dalam perbelanjaan pengiklanan (ADEX) antara platform digital dan media tempatan bagi memastikan pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita,” katanya.