Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, peningkatan yang signifikan itu merupakan satu perkembangan positif yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuhkan kedudukan kewangan Sabah bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, keputusan tersebut juga membuktikan pendekatan rundingan berterusan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah membuahkan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
“Wanita Gagasan Rakyat melihat keputusan ini sebagai bukti bahawa pendekatan rundingan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri berjaya menghasilkan manfaat nyata kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, Redonah menegaskan bahawa bayaran khas interim itu bukanlah pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan daripada Sabah.
Menurut beliau, Wanita Gagasan Rakyat kekal konsisten menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah melalui saluran perundingan yang berhemah, konstruktif dan berlandaskan semangat Persekutuan Malaysia.
“Peningkatan bayaran interim ini merupakan langkah yang baik, namun hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu terus diperjuangkan sehingga mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, tambahan bayaran interim itu dijangka dapat mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta inisiatif kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek bekalan air, infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.
Katanya, sektor-sektor tersebut merupakan antara keutamaan utama rakyat Sabah yang memerlukan perhatian berterusan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat.
Pada masa sama, beliau berharap peruntukan tambahan itu dapat dimanfaatkan secara telus, berkesan dan strategik supaya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat di seluruh pelosok negeri.
“Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan tanpa mengabaikan keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.
Menurut Redonah, perjuangan menuntut hak Sabah dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat perlu bergerak seiring demi memastikan masa depan negeri yang lebih mampan dan sejahtera.
Beliau menegaskan bahawa prinsip memperjuangkan hak Sabah sambil mengutamakan kebajikan rakyat akan terus menjadi pegangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat.
“Hak Sabah terus diperjuangkan, kebajikan rakyat terus diutamakan,” katanya.
































