Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) menyantuni masyarakat yang hadir.
RANAU: Hujan lebat tidak menghalang masyarakat menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seramai lebih 1,700 penduduk sekitar daerah Ranau dan Kundasang menanti ketibaan rombongan konvoi Kembara Kenali Borneo di Pentas Budaya sempena Majlis Santapan Bersama Rakyat, pada Selasa.
Ketibaan Seri Paduka Baginda berdua yang ditemani anakanda-anakanda disambut oleh Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 100 golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari sekitar daerah Ranau.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (depan, tengah) menari bersama dengan pelajar daripada SMK Lohan.
Dalam majlis tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sempat meluangkan masa menari tarian Sumirid daripada suku kaum Dusun Liwan Ranau bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali, Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.