Haslinda bertukar dokumen usahasama dengan Johari (kanan), sambil disaksikan oleh Mohammad Faizal (dua kanan), Zubir (tengah) dan Gary (kiri).
KOTA KINABALU: Penduduk Lahad Datu bakal menerima limpahan ekonomi berikutan buat julung kalinya sebuah feri penumpang akan dibenarkan beroperasi dari bandar itu ke Bongau, Pulau Tawi-Tawi, Filipina.
Kemudahan tersebut yang bakal dilancarkan Kerajaan Negeri pada 28 September ini turut membolehkan feri penumpang tersebut mengangkut barangan eksport dari negeri ini.
Pengasas Zubir Food (Sabah) Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Zubir Mohd. Said berkata, berikutan perkembangan tersebut pihaknya kini telah melakukan usahasama dengan Jay Sayang Enterprise untuk mengeksport bekalan daging ayam beku ke Pulau Tawi-Tawi.
“Untuk penghantaran pertama pada 28 September ini, kita menjangkakan sejumlah 30 tan daging ayam beku dieksport ke kawasan itu.
“Syarikat ini mampu menawarkan harga berdaya saing sehingga pihak usahawan di pulau berkenaan mahu mengadakan usahasama perniagaan dengan kami.
“Selain itu, kita mempunyai sijil halal yang diperlukan memandangkan sebelum ini bekalan daging ayam untuk komuniti Muslim di kawasan terbabit sentiasa diragui kerana kurangnya pengiktirafan halal daripada pengusaha di sana,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertukaran dokumen usahasama di sini, semalam.
Katanya, pihaknya mempunyai pusat penyembelihan sendiri di Johor iaitu Mars Global Sdn Bhd. yang berkapasiti mengeluarkan 60,000 ekor daging ayam sehari, tetapi jumlah itu boleh ditingkatkan kepada 120,000 sehari.
Menurutnya, sasaran pihaknya adalah untuk memenuhi keperluan lima juta penduduk Pulau Taw-Tawi.
“Pada masa hadapan, sekiranya permintaan semakin meningkat, kita berhasrat untuk menambah jumlah eksport daging ayam ke enam wilayah di Filipina.
“Bekalan ayam tempatan khususnya di Sabah tidak akan terjejas memandangkan kita mempunyai bekalan yang sangat banyak,” katanya.
Sementara itu, Mayor Turtle Island, Tawi-Tawi Mohammad Faizal H. Jamalul berkata, pihaknya mengalu-alukan usahasama yang dimeterai itu kerana masyarakat Muslim di kawasannya serta di sekitar pulau berkenaan sangat memerlukan bekalan daging ayam halal.
Katanya, populasi di kawasan berkenaan sangat besar dan diharapkan jumlah eksport bekalan daging ayam ini mampu menampung keperluan masyarakat di sana.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jay Sayang Enterprise, Johari Marki berkata, mengimport daging ayam beku dari Malaysia khususnya Sabah mempunyai kebaikan memandangkan bekalan itu adalah halal.
“Tidak dinafikan kurangnya bekalan ayam halal di Tawi-Tawi, kerana bekalan kini hanya datang dari Manila serta Zamboanga, China, Eropah serta negara Latin.
“Harga yang ditawarkan juga dapat berdaya saing dengan pembekal yang lain, oleh itu kami memutuskan untuk mengadakan usahasama dengan Zubir Food (Sabah) Sdn Bhd,” katanya.
Untuk rekod, laluan perlabuhan Lahad Datu ke Bongau, Tawi-Tawi hanya memerlukan kurang tiga jam untuk sampai ke destinasi berbanding dari perlabuhan Tawau atau Sandakan yang memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam. Ia juga laluan yang diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia.
Dalam kegiatan ekport ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting dalam membantu usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.
MARA juga membantu dari segi pembiayaan, rangkaian hubungan, latihan dan pemasaran yang diperlukan usahawan.
Feri berkenaan juga mampu memuatkan 350 orang penumpang dan 300 tan kargo bagi setiap perjalanan.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pengarah Zubir Food (Sabah) Sdn Bhd, Haslinda Hadis dan Pegawai MARA Daerah Kota Kinabalu, Gary Ambrose.