Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Dunia Hijau dan Kelestarian di Kuching, kelmarin.
KUCHING: Sarawak kini mengkaji kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan negara Singapura dalam mengeksport tenaga hidro dan menarik pelaburan intensif tenaga.
Menurut Utusan Malaysia, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari berkata, negeri ini mampu untuk membekal tenaga hidro sehingga maksimum 1,000 MW ke Singapura.
“Jika mereka (Singapura) memerlukan lebih banyak tenaga kerana pelaburan intensif tenaga di Singapura, maka kita boleh bekerjasama.
“Justeru itu, mereka boleh meletakkan pelaburan di Sarawak. Itu antara persefahaman kita (Sarawak) dan Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini selepas merasmikan The World Green and Sustainability Summit di sini kelmarin.
Pada masa yang sama Abang Johari turut yakin dengan pelaburan yang menarik para pelabur ini, ia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.
“Sebab itu saya tekankan pendidikan berhubung kait perkara ini amat penting supaya kita dapat membekalkan sumber manusia yang betul dengan sumber manusia yang berkelayakan tinggi memboleh bekerja dengan mereka,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian majlis berkenaan, Abang Johari turut mendedahkan Sarawak berpotensi mengeksport tenaga hidro ke Singapura melalui kabel dasar bawah laut.
“Singapura memerlukan bekalan tenaga yang besar untuk industrinya.
“Melihat kepada peluang itu, Sarawak mungkin dapat menyediakan Singapura dengan hijau dan boleh diperbaharui yang dijana daripada empangan hidroelektrik di negeri ini.
“Inisiatif ini menyokong aspirasi Singapura untuk mengurangkan jejak karbon sektor tenaga dengan mengimport 30 peratus tenaga elektriknya daripada sumber karbon rendah menjelang 2025,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama kata Abang Johari, Sarawak Energy Berhad (SEB) kini memiliki empangan Bakum, Murum dan Batang Ai yang sedang giat membina empangan Baleh dan mampu menjana kuasa 1,285 megawatt menjelang 2027.
Jelasnya, SEB kink sudah pun mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia dan akan mengeksport ke Sabah menjelang 2024.
“Kita sedang mengkaji untuk mengeksport tenaga elektrik ke Singapura dan Brunei.
“Selaib itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji konsep empangan melata untuk menghasilkan kuasa, sama seperti di negara Tasmania dan Nordik di Sweden,” katanya.
Abang Johari turut mempelawa para pelabur, pencinta alam sekitar dan institusi kewangan luar untuk bekerjasama dalam mengubah landskap ekonomi hijau di Sarawak.
“Peralihan ke arah ekonomi mampan di Sarawak sudah pasti akan menuntut pelaburan mendalam dan penyelesaian pembiayaan yang inovatif.
“Kita terbuka kepada perkongsian yang memfokuskan pada rantaian bekalan dan nilai yang lebih hijau merentasi semua sektor,” katanya.