Polis Syariah di Aceh menahan tiga selebriti TikTok yang mencipta kandungan lucah semasa penstriman langsung di tempat letak kereta sebuah kedai kopi di kawasan Lampaseh, di Banda Aceh.
ACEH: Polis Syariah di Aceh menahan tiga selebriti TikTok yang mencipta kandungan lucah semasa penstriman langsung di tempat letak kereta sebuah kedai kopi di kawasan Lampaseh, di Banda Aceh.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Perhubungan Antara Agensi Banda Aceh, Teguh Arif mengesahkan penahanan dua wanita dan seorang lelaki yang terlibat melakukan aksi tidak senonoh itu dalam siaran langsung pada Khamis lalu.
“Kandungan yang mereka cipta ialah lelaki itu mencabar wanita berkenaan membuka pakaian dalam yang dipakai.
“Selepas itu, kedua-dua wanita itu sempat mempamerkan payudara mereka semasa siaran langsung malam 31 Ogos lalu,” katanya dipetik CNN Indonesia
Menurut Teguh, tiga individu itu ditahan selepas polis Banda Aceh menerima panggilan daripada orang ramai dan pengunjung di warung kopi berkenaan yang tidak selesa melihat perbuatan tersebut.
Katanya, daripada hasil siasatan, mereka disyaki melanggar Qanun No. 11 Tahun 2002 tentang pelaksanaan syariat dalam bidang aqidah, ibadah dan syiar Islam.
Jelas Teguh, pihaknya turut merampas sebuah telefon pintar Iphone 13 Promax, Iphone XR dan jenis Oppo A7 berwarna hitam.
“Kami akan memaklumkan hasil siasatan serta dakwaan yang akan dikenakan berhubung kes itu selepas selesai menjalankan siasatan lanjut terhadap saksi dan suspek yang terlibat,” katanya.