Anwar ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Pulau Banggi.
KUDAT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM31 juta bagi memacu pelbagai projek pembangunan di Pulau Banggi.
Beliau berkata peruntukan tersebut, yang diselaraskan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, akan memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan serta penyediaan jeti untuk kegunaan penduduk setempat.
“Dahulu saya hadir ke sini untuk membina sekolah, namun hari ini saya kembali bagi meluluskan peruntukan RM31 juta demi kemajuan Pulau Banggi.
“Ia merangkumi beberapa projek yang sedang rancak dilaksanakan termasuk kerja-kerja menaik taraf jalan raya dan jambatan di beberapa buah kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi di Dewan Terbuka Kobong, di sini, yang dihadiri lebih 3,000 penduduk.
Mengulas lanjut mengenai projek sedia ada, Anwar menjelaskan bahawa pembinaan Jeti Pontoon Awam Karakit Fasa 2 kini dalam proses pelaksanaan bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan laut sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi penduduk.
Selain itu, projek menaik taraf Jalan Kampung Limbuak Laut ke Kampung Pengkalan Darat yang bernilai hampir RM44 juta sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
“Projek ini amat signifikan kerana akses jalan raya yang sempurna akan membuka ruang ekonomi yang lebih luas serta memudahkan capaian pendidikan dan kesihatan buat rakyat di kawasan pedalaman pulau ini,” ujar beliau.
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM1.25 juta bagi tujuan pelaksanaan program pendidikan, pemerkasaan institusi, teknologi hijau, kesihatan dan pembangunan insan.
Sumbangan berkenaan diselaraskan oleh agensi-agensi di bawah Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Anwar turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi yang menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah ‘Capacity Building Digital NADI’ di World Summit on the Information Society (WSIS) anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, baru-baru ini.
Terdahulu, Perdana Menteri sempat melakukan lawatan singkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi bagi mengimbau kenangan sewaktu beliau meletakkan batu asas pembinaan sekolah tersebut semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1994.
“Syukur Alhamdulillah, sekolah yang saya letakkan batu asasnya 32 tahun lalu kini tersergam indah dan berjaya melahirkan anak-anak yang terdidik, malah kini sudah mempunyai kelas Tingkatan Enam,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Chong Chen Bin.






























