She Zhijiang
SINGAPURA: Seorang warga China disyaki merupakan individu di sebalik empayar perjudian haram dan penipuan dalam talian dengan mempunyai rangkaian meluas dalam kalangan orang ramai serta firma di seluruh Asia Tenggara.
She Zhijiang yang juga dikenali sebagai `Raja Kasino’ dikatakan banyak menderma kepada badan amal dan sering menghadiri majlis makan dengan individu berpengaruh di Kemboja, dengan memperkenalkan dirinya sebagai ahli perniagaan.
Menurut Utusan Malaysia, The Straits Times melaporkan, operasi haram lelaki itu menggunakan teknologi ‘blockchain’ yang dibangunkan oleh firma berpangkalan di Singapura bagi memindahkan mata wang kripto.
She juga mempunyai pelabur dari Malaysia dan Myanmar, selain turut mengendalikan kasino di Filipina dan Kemboja, yang mana perjudian dalam talian diharamkan di negara itu.
Lelaki berusia 41 tahun itu dikatakan mempunyai kaitan dengan rangkaian syarikat luas di seluruh dunia termasuk di Britain, yang digunakan untuk penggubahan wang berbilion-bilion yang diperolehnya sejak memulakan perniagaan kecil-kecilan di Hunan, China.
Berdasarkan portal berita China Caixin, She juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti She Kailun dan Tang Kailun.
She turut dikaitkan dengan operasi penipuan di Myanmar dan Kemboja dan pemerdagangan manusia.
Salah sebuah firma milik She dilaporkan menyiarkan iklan tawaran kerja di Facebook dengan menjanjikan gaji yang lumayan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, menyebabkan kadar pengangguran meningkat.
Ratusan anak muda dari Asia dan Afrika termakan umpan itu dan dipaksa bekerja di firma perjudian dalam talian dan pusat scam di Zon Ekonomi Khas Shwe Kokko di Myanmar.
Sementara itu, Institut Keamanan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan penyokong utama kawasan Shwe Kokko adalah She yang melabur berbilion-bilion dolar.
Laporan dikeluarkan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan mereka yang ditahan di pusat berkenaan termasuk warga Singapura.
She yang dilahirkan di China, pada mulanya menjalankan perniagaan perjudian dalam talian di Filipina dengan menyasarkan warga China.
Apabila kerajaan di China menyekat perjudian dalam talian kerana menyalahi undang-undang, She melarikan diri.
Sejak 2020, lebih 130,000 orang yang dikaitkan dengan 24,000 kes perjudian rentas sempadan ditahan oleh polis di China.
She menjadi buruan polis, berpindah ke Kemboja dan menerima kewarganegaraan pada 2017.
Pada 2021, China mengeluarkan notis merah Polis Antarabangsa dan She berjaya ditahan pada Ogos tahun lalu di Thailand, namun dia menentang penghantaran pulang ke China atas alasan bukan lagi kerakyatan republik itu.
Dengan penangkapannya, polis di Asia Tenggara mula memahami rangkaiannya dan sejauh mana pengaruhnya di Asia Tenggara.