Kenneth Law
LONDON: Polis Kanada memfailkan 12 pertuduhan baharu terhadap seorang cef yang dipercayai menjual `pakej racun’ untuk individu yang mahu membunuh diri.
Kenneth Law, 57, didakwa atas 12 pertuduhan membabitkan `memberi nasihat atau membantu membunuh diri’ dalam kalangan mangsa seawal usia 16 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Daily Mail melaporkan, pertuduhan itu difailkan ketika Kenneth dikaitkan dengan 88 kes kematian di United Kingdom (UK).
Sebelum ini, Kenneth didakwa dengan dua pertuduhan yang sama selepas dipercayai menjual sebanyak 1,200 bungkusan ke lebih 40 negara menerusi dalam talian.
Inspektor polis wilayah York, Simon James berkata, Kenneth yang merupakan bekas jurutera aeroangkasa kini berdepan 12 pertuduhan baharu itu berkaitan dengan beberapa lagi kematian di seluruh Ontario.
“Kami tidak akan sesekali bertolak ansur dengan tindakan jenayah mana-mana individu yang menjadikan golongan mudah terdedah sebagai mangsa mereka.
“Kami akan memastikan individu terbabit diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu, polis memaklumkan 12 pertuduhan difailkan terhadap Kenneth membabitkan empat kematian di Toronto, tiga kes di wilayah York serta masing-masing satu kes kematian di Durham, London, Ontario, Thunder Bay, Waterloo dan Peel.
Bagaimanapun, kata polis, mereka percaya lebih bungkusan telah dihantar kepada individu yang beralamat di Kanada.
Ketika ini, Kenneth berada dalam tahanan polis.
Namun, polis Kanada mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan bungkusan atau transaksi yang tertera nama Imtime Cuisine, AmbuCA, Academic atau ACademic, Escape Mode atau escMode dan ICemac.
Sementara itu, Agensi Pencegahan Jenayah UK turut melancarkan siasatan terhadap kes kematian 88 orang yang dipercayai membeli produk dari laman sesawang yang menjual pakej racun untuk membantu membunuh diri.
Menurut agensi itu, seramai 272 orang dipercayai membeli produk berkenaan dari laman sesawang Kenneth.
Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengesahkan bahan kimia yang didakwa dijual oleh Kenneth adalah punca utama kematian 88 orang itu.