IPOH: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki membuat panggilan bom palsu di sebuah pusat membeli-belah di Chemor di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Tasek pada pukul 9.30 malam.
Katanya, tangkapan ke atas lelaki itu dilakukan selepas lima jam laporan polis dibuat pekerja pusat membeli-belah berkenaan berkaitan ancaman bom pada pukul 4.50 petang.
“Pihak polis bertindak segera terhadap maklumat itu dan melakukan pemeriksaan menyeluruh di dalam bangunan pusat membeli-belah dengan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Kontinjen Perak, pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pemeriksaan di seluruh bangunan tidak menemukan objek meragukan dan selepas keadaan disahkan selamat, pekerja dibenarkan masuk semula ke dalam premis itu pada pukul 10.30 malam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, seorang lelaki dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom tersebut berjaya ditahan.
Katanya, lelaki itu ditahan berdasarkan pengakuan dan keterangan-keterangan yang dikumpulkan selain peranti komunikasi yang digunakan bagi membuat panggilan palsu berkenaan.
“Kes berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek. Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya.