Japiril Suhaimin
KOTA KINABALU: Pengumuman Ketua Menteri mengenai Hari Sabah yang akan disambut secara rasmi tahun ini menunjukkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memgambil berat naluri dan keinginan rakyat sesuai dengan slogan ‘Sayangi Sabah’, kata Parti Maju Sabah (SAPP).
Timbalan Presiden merangkap Bendahari SAPP, Japiril Suhaimin berkata, pengumuman oleh Ketua Menteri itu membuka lembaran sejarah baharu kepada rakyat Sabah kerana ramai rakyat Sabah dan Malaysia tidak tahu sejarah 1957 dan 1963.
“Orang Sabah seharusnya merayakan Hari Sabah pada 31 Ogos kerana sebelum ini 31 Ogos sentiasa bertujuan untuk memperingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957. Pada perayaan Hari Sabah, rakyat Sabah sepatutnya mengibarkan bendera Sabah.
“SAPP sangat berharap semoga sambutan perayaan Hari Sabah akan berterusan setiap tahun. Hari Sabah perlu diiktiraf dengan betul dan rasmi, supaya rakyat Sabah lebih sedar tentang sejarah penting ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain merayakan, katanya, SAPP amat yakin satu masa nanti Hari Sabah akan digazetkan supaya sejarah akan lebih terpahat dalam sanubari dan jiwa rakyat Sabah.
Pada 21 Ogos, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan bahawa Sabah akan menyambut Hari Sabah pada 31 Ogos bagi memperingati hari ia menjadi negara merdeka 60 tahun lalu.
Beliau berkata, Kabinet Negeri membuat keputusan itu pada mesyuaratnya minggu lepas dan telah memilih Tambunan sebagai venue untuk sambutan julung kali diadakan.
“Kabinet Negeri juga memutuskan bahawa sambutan bagi meraikan peristiwa bersejarah penting Sabah ini akan disambut setiap tahun dengan tempatnya akan digilirkan di kalangan daerah,” kata Ketua Menteri.
“Marilah kita menghormati dan memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan penjajah British di Sabah dan menandakan perjalanan kita untuk bersatu sebagai rakyat untuk mewujudkan pemerintahan sendiri,” katanya.
Sabah kemudiannya membentuk Persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.
Beliau berkata, acara di Tambunan itu dijadualkan pada pukul 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di sini.
Sambutan Hari Sabah di Tambunan tahun ini akan diadakan di Kompleks Sukan Tambunan pada pukul 3 petang dan diteruskan di Dewan Dataran Pisompuruan pada pukul 6 petang.