GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan sedang memantau varian baharu Covid-19 BA.2.86 yang digelar oleh saintis di media sosial sebagai ‘Pirola’ walaupun kesannya masih belum diketahui buat masa ini.
WHO mengklasifikasikan varian baharu itu sebagai salah satu di bawah pengawasan disebabkan jumlah besar lebih daripada 30 mutasi gen spike yang dibawanya.
Menurut Utusan Malaysia, WHO dalam satu kenyataan memaklumkan, hanya terdapat empat jujukan yang diketahui bagi varian tersebut.
Setakat ini, varian berkenaan hanya dikesan di Israel, Denmark dan AS.
Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC) mengesahkan mereka juga sedang memantau varian tersebut, melalui mesej di platform sosial X.
Menurut WHO, dalam tempoh pelaporan terakhir antara 17 Julai dan 13 Ogos, lebih 1.4 juta kes baharu Covid-19 dikesan dengan lebih 2,300 kematian dilaporkan.
Jumlah kes itu mewakili peningkatan sebanyak 63 peratus dari tempoh 28 hari sebelumnya manakala kematian menurun sebanyak 56 peratus.
Setakat 13 Ogos, terdapat lebih 769 juta kes Covid-19 yang disahkan dan lebih daripada 6.9 juta kematian di seluruh dunia, walaupun angka sebenar dijangka lebih tinggi kerana kebanyakan kes tidak dapat dikesan.
WHO turut mengecam beberapa negara yang sudah membubarkan operasi sistem pemantauan untuk virus tersebut atas alasan ancamannya tidak lagi seteruk dahulu sebaliknya menyeru agar pemerhatian berterusan perlu dilakukan dengan lebih ketat.
https://www.utusan.com.my/luar-negara/2023/08/who-cdc-pantau-virus-baharu-covid-19/