Masiung meletupkan Ladum sambil disaksikan penduduk Kampung Keramuak.
TONGOD: Kaedah meletupkan ‘ladum’ ternyata boleh menghalau dan mengejutkan kumpulan gajah liar yang sering mengancam tanaman penduduk, kata ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Ladum ialah sejenis alat tradisional diperbuat daripada bekas tin terbuang yang dicantum dan dibentuk seperti meriam buluh serta boleh diletupkan menggunakan cecair spirit.
Masiung yang mencuba sendiri ladum semasa lawatan sehari ke kampung itu Sabtu lalu, mahu Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan menjadi mentor kepada komuditi pekebun kecil yang terancam dengan gajah liar.
Terdahulu, beliau diberi taklimat oleh Pegawai JHL Kinabatangan, Sylvia Alsisto, mengenai penubuhan komuniti pekebun kecil dinamakan ‘Aki Keramuak’ yang bertindak menghalau kumpulan gajah liar mengancam kebun sawit penduduk menggunakan kaedah ladum.
“Saya telah membawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai masalah gajah liar yang telah banyak memusnahkan kebun-kebun sawit milik penduduk di daerah Tongod, namun belum ada tindakan diambil setakat ini,” katanya.
Masiung kemudian meluluskan RM10,000 untuk membina sebuah pusat komuniti Aki Keramuak di kampung berkenaan.
Katanya, para pegawai JHL akan melatih kumpulan pekebun kecil sawit supaya mereka mahir dalam kaedah menghalau binatang liar itu tanpa menggunakan kekerasan.
“Salah satu cara penduduk menghalau kumpulan gajah ialah meletupkan ladum apabila binatang itu memasuki kebun sawit mereka.
“Saya telah meminta JHL menubuhkan lebih banyak pasukan di setiap kampung yang sering kali menjadi ancaman binatang berkenaan,“ tambah Masiung.































