Pemain England berpelukan selepas menyingkirkan Colombia untuk mara ke separuh akhir Piala Dunai Wanita di Stadium Australia, Sydney kelmarin.
SYDNEY: England bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menyingkirkan cabaran getir Colombia 2-1 pada suku akhir bola sepak Piala Dunia Wanita, kelmarin.
Juara Eropah itu kini akan berdepan tuan rumah, Australia yang mengharungi aksi mendebarkan sebelum menyingkirkan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 untuk memahat sejarah melayakkan diri ke separuh akhir buat kali pertama.
Penyerang Arsenal, Alessia Russo meledak gol kemenangan England di depan 75,000 penonton di Stadium Australia, Sydney untuk menamatkan ‘kisah dongeng’ Colombia.
Colombia sempat ‘berpesta’ awal selepas Leicy Santos meletakkan mereja di depan pada minit ke-44.
Begitupun England tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan apabila Lauren Hemp menghukum kesilapan penjaga gol, Catalina Pereze enam minit memasuki waktu kecederaan separuh masa.
Penyudah cantik Russo pada minit ke-63 mengesahkan kemaraan skuad Lionesses, sekali gus akan menentang Australia di Sydney pada Rabu depan.
Terdahulu dalam aksi di Brisbane, Australia terpaksa bertarung lebih tiga jam sebelum meraih tiket separuh akhir pertama mereka dengan cara amat dramatik.
Kedua-dua pasukan mengharungi 120 minit yang tegang dan mendebarkan apabila perlawanan berkesudahan tanpa jaringan selepas tamat masa tambahan.
Memasuki penentuan sepakan penalti, debaran terus dirasai apabila Australia dan Perancis seketika terikat 5-5.
Begitupun Cortnee Vine menyudahkan gol kemenangan untuk menamatkan penentuan sepakan penalti luar biasa yang menyaksikan kedua-dua pasukan mengambil 10 tendangan penalti keseluruhan.
Bermain di depan 49.000 penonton tuan rumah, Vine membuang rasa cemas untuk menyudahkan jaringan dan memastikan impian skuad Matildas untuk memenangi Piala Dunia di tanah air terus hidup.
Penjaga gol Australia, Mackenzie Arnold juga mempamer kecemerlangan menyelamatkan tiga sepakan Les Bleus biarpun tendangannya sendiri terkena tiang.
Ini kali keempat Australia beraksi dalam suku akhir selepas 2007, 2011 dan 2015, namun mereka sering terkandas di peringkat lapan terbaik.