Ellron Angin
KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan amat memahami mengenai keperluan golongan belia dan beliawanis di kawasan pedalaman Sabah untuk mendapat maklumat berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran, kata Menterinya, Datuk Ellron Angin.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian beliau tidak memegang fungsi dalam menyediakan peluang pekerjaan ataupun menjadi ejen pencarian pekerjaan kepada belia yang menggangur.
“Namun demikian, Kementerian bersama-sama dengan Majlis Belia Sabah dan Majlis Perundingan Negeri Sabah sentiasa bekerjasama dalam mengadakan sesi libat urus berkenaan hal ehwal belia.
“Ini terutamanya dalam menyebarluaskan maklumat-maklumat mengenai peluang-peluang yang boleh diperolehi oleh golongan belia berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Abdul Ghani bertanya apakah inisiatif yang sedang giat diusahakan oleh pihak Kementerian bagi memastikan belia dan beliawanis di kawasan pedalaman Sabah sentiasa mendapat maklumat berkaitan peluang melibatkan pekerjaan, keusahawanan dan kemahiran.
Ellron berkata, Kementeriannya juga sedang mengadakan Progam KBSS Turun Padang : Jelajah Belia di seluruh Sabah.
Katanya, ini juga membabitkan kawasan pedalaman Sabah yang berdomainkan kesukarelawan, kesejahteraan ekonomi, kesihatan, kebudayaan dan kerohanian.
“Melalui program ini pelbagai aktiviti yang diadakan termasuklah sesi Sembang Belia bersama pemimpin dan belia akar umbi.
“Semasa program ini dijalankan, pihak Kementerian ada melaksanakan program-program latihan kemahiran jangka pendek dan jangka panjang seperti bidang perhotelan, kursus asas didikan dan pendidikan awal kanak-kanak, asas binaan, automotif, kecantikan, kelas seni kreatif jahitan, pertanian dan pemakanan,” katanya.
Selain itu, Ellron memberitahu, persatuan-persatuan belia akar umbi juga telah dimaklumkan bahawa Kementeriannya ada menyediakan geran berjumlah RM5,000 kepada setiap persatuan yang memohon geran untuk mereka laksanakan program ataupun aktiviti yang dirancang.
“Persatuan yang layak dipertimbangkan untuk kelulusan geran ini hendaklah mempunyai dokumen yang sah antaranya seperti yang ditetapkan kepada mereka,” kata beliau.
Ellron menambah, Kementeriannya juga memberi bantuan berupa dana yang dikenali Skim Jaya Usahawan Belia (SYABAS) kepada usahawan belia yang berumur 18 hingga 40 tahun serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Dana ini telah diperkenalkan pada tahun lepas dan jumlah penerima bantuan setakat ini adalah seramai 2,893 orang.
“Bantuan skim ini akan diteruskan pada tahun ini dan permohonan akan dibuka tidak lama lagi,” jelas beliau.