Andi Muhammad Suryady Bandy
KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) memang mempunyai usaha untuk merancang atau mewujudkan lebih banyak taman perindustrian di Sabah.
Walau bagaimanapun, Pembantu Menteri MIDE, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, bagi daerah Telupid, setakat ini belum ada perancangan untuk mewujudkan sebuah kawasan perindustrian yang berasaskan kayu.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Jonnybone J. Kurum (Telupid) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jonnybone bertanya adakah MIDE bercadang untuk mewujudkan kawasan perindustrian berasaskan perkayuan di daerah Telupid contohnya seperti kilang perabot.
Andi yang juga ADUN Tanjung Batu dan Ahli Parlimen Kalabakan berkata, MIDE sentiasa bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pemimpin bagi tujuan berkenaan.
“Kita bersedia berbincang serta meninjau dan merancang potensi-potensi pembangunan kawasan perindustrian di daerah masing-masing, demi untuk pembangunan ekonomi negeri kita yang tercinta,” jelas beliau.