Jafry Ariffin
KOTA KINABALU (Bernama): Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan semua produk pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan inap desa yang berdaftar di negeri itu memenuhi ASEAN Community-Based Tourism Standard menjelang 2030.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata sasaran itu bertujuan memastikan pengusaha komuniti bersedia menerima pelawat melalui penambahbaikan berterusan kualiti produk, standard perkhidmatan, kemudahan dan keselamatan.
Beliau berkata setakat ini, 13 produk CBT dan inap desa di Sabah telah tersenarai di bawah ASEAN Tourism Standard Awards, manakala lima produk lagi menerima pengiktirafan standard ASEAN peringkat kebangsaan bagi tempoh 2025 hingga 2027.
“Lebih penting lagi, peluang yang diwujudkan menerusi Tahun Melawat Sabah 2027 mesti turut dinikmati oleh komuniti luar bandar. Usaha promosi kita perlu melangkaui tarikan yang sudah dikenali dan merangkumi pengalaman berasaskan komuniti di luar laluan pelancongan biasa.
“Hal ini termasuk aktiviti kebudayaan, kraf tangan tradisional, agropelancongan, makanan tempatan dan aktiviti berasaskan alam semula jadi,” katanya ketika berucap merasmikan Sabah Community-Based Tourism Fair (SCBTF) 2026 di pusat beli-belah Suria Sabah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, Setiausaha Tetap kementerian Datuk Josie Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Victoria Engku.
Mengulas lanjut, Jafry berkata perkembangan sektor CBT di Sabah amat menggalakkan apabila ketibaan pelawat meningkat 23.3 peratus daripada 293,623 orang pada 2024 kepada 362,141 orang pada 2025.
Beliau berkata lonjakan itu sekali gus berjaya menjana pendapatan melebihi RM7 juta kepada masyarakat setempat serta menyumbang kepada ekonomi luar bandar.
“Angka-angka ini menunjukkan potensi pelancongan berasaskan komuniti serta kepentingan memperkukuh penyertaan komuniti. Seiring dengan usaha memperluas CBT, aspek kemampanan mesti terus menjadi keutamaan.
“Tradisi, adat resam, kraf tangan dan pengetahuan tempatan Sabah bersama-sama hutan, sungai dan hidupan liarnya merupakan khazanah bernilai yang perlu dilindungi,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap penganjuran SCBTF 2026 dapat menjadi platform bermakna bagi pengusaha pelancongan komuniti untuk mengetengahkan produk mereka, menjalin hubungan dengan pemain industri dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Beliau turut menggalakkan pemain industri pelancongan untuk memasukkan lebih banyak tawaran produk berasaskan komuniti ke dalam pakej serta itinerari perjalanan mereka. — BERNAMA































