Ruddy Awah (tengah) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
KOTA KINABALU: Pejabat Daerah Kota Belud telah mengeluarkan sebanyak 759 buah lesen perniagaan baharu dalam tempoh lima bulan tahun ini, kata Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Sri Ruddy Awah.
Katanya, Pejabat Daerah Kota Belud telah menerima sebanyak 1,259 permohonan lesen baharu daripada 24 Februari 2023 hingga 31 Julai 2023.
Ini berdasarkan maklumat berkenaan bilangan permohonan lesen secara dalam talian yang diterima oleh Pejabat Daerah Kota Belud, kata
Ruddy ketika menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Ewon bertanya kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar berapakah jumlah permohonan lessen perniagaan dan bilangan lesen perniagaan yang telah dikeluarkan di daerah Kota Belud, dan berapakah tempoh masa (hari) memproses pemohonan secara dalam talian bagi lesen perniagaan tersebut.
Ruddy berkata, sekiranya dokumen lengkap dan dimuat naik dengan sempurna, pihak Pejabat Daerah Kota Belud mengambil tempoh masa satu hari bagi memproses permohonan lesen dalam talian tersebut.