Pasangan suami isteri dan enam lagi pembantu rumahnya dihukum penjara oleh mahkamah Jakarta Selatan selepas didapati bersalah mendera Siti Khotimah.
JAKARTA: Nasib seorang amah yang didera oleh majikan dan beberapa rakan kerjanya terbela apabila mereka semua dihukum penjara.
Siti Khotimah, 23, sebelum ini didera oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri, So Kasander dan Metty Kapantow ketika bekerja dengan mereka sebagai pembantu rumah di Jakarta Selatan.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan suami isteri itu masing-masing dihukum penjara empat dan tiga setengah tahun oleh mahkamah dalam perbicaraan kelmarin.
Selain itu, enam lagi pembantu rumah pasangan suami isteri itu juga dihukum penjara tiga tahun setengah kerana bersubahat mendera Siti Khotimah.
Siti yang berasal dari Pemalang, Jawa Tengah merantau ke Jakarta untuk mencari kerja sebelum menjadi pembantu rumah kepada pasangan suami isteri tersebut.
Selepas lima bulan bekerja dengan mereka, Siti mula dipukul dan didera sehingga dipaksa tidur dalam kandang anjing.
Lebih malang, beberapa rakan sekerjanya juga mendera Siti dengan menyiramnya dengan air panas.
Wanita itu kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada keluarganya dan mereka melaporkannya kepada polis.
Siasatan polis mendapati memang benar Siti didera oleh majikan dan rakan sekerjanya.