Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip supaya Akta Hasutan 1948 disemak dengan sewajarnya bagi memastikan perundangan itu digunakan hanya untuk melindungi institusi raja-raja daripada sebarang provokasi.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, aspek lain berkenaan provokasi melibatkan agama dan bangsa akan diteliti termasuk penggubalan perundangan baharu jika perlu, mengenai keharmonian dan perpaduan negara dengan mengambil kira pandangan institusi raja-raja sebagai ketua agama Islam dan amalan serta prinsip terbaik antarabangsa.
“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan mengambil langkah yang sewajarnya dalam menyemak secara terperinci Akta Hasutan 1948 dan memastikan cadangan pindaan yang bakal dicadangkan adalah benar-benar bertujuan untuk melindungi institusi raja-raja secara holistik,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Sebelum ini, Azalina memaklumkan kerajaan akan mengkaji semula kerelevanan undang-undang sedia ada agar selaras dengan perkembangan semasa susulan peningkatan jumlah kes provokasi agama, bangsa dan raja (3R) baru-baru ini.
Beliau dilaporkan berkata, undang-undang sedia ada tersebut termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jelasnya, selain itu, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kanun Keseksaan, namun perlu diambil kira bahawa antara undang-undang berkenaan, ada yang telah digubal tujuh dekad yang lalu.
Terdahulu, Azalina memaklumkan bahawa beliau membentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin hasil Dialog Perundangan 3R yang berlangsung 21 Julai lalu dalam menangani isu provokasi yang dihadiri wakil pelbagai pihak termasuk kementerian atau jabatan Persekutuan seperti Kementerian Perpaduan Negara, badan-badan peguam, Pertubuhan Masyarakat Madani (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli-ahli akademi.
Sesi libat urus itu bertujuan mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada serta cabaran terkini dihadapi oleh agensi penguat kuasa dan juga untuk menerokai model perundangan alternatif dalam menangani isu berkenaan dengan mengambil kira piawaian serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa seperti Prinsip Camden, Pelan Tindakan Rabat dan Strategi dan Pelan Tindakan PBB Mengenai Ucapan Kebencian.





























