Anggota bomba ketika berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat di Kota Belud. – Ihsan Bomba
KOTA BELUD: Seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera ringan selepas terjun untuk menyelamatkan diri dari tingkat dua sebuah rumah yang terbakar di sini awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Muhammad Syazwan Latun memberitahu, kejadian berlaku di Kampung Sangkir pada kira-kira jam 1.40 pagi.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian balai pada jam 1.40 pagi dan sepasukan tujuh anggota diketuai Komander Operasi, PBK II KUP Franky Talib dikejarkan ke lokasi.

Setiba di tempat kejadian yang terletak 10 kilometer dari BBP itu, mereka mendapati berlaku satu kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berukuran 40’x50’ yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak mengawal dan memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200’ dua pancutan sumber air dari tangki jentera,” katanya.
Muhammad Syazwan berkata, terdapat tiga orang mangsa mengalami kecederaan ringan selepas terjun dari tingkat dua rumah tersebut untuk menyelamatkan diri.
Katanya, kesemua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.28 pagi, katanya.