Ewon (tengah) ketika melawat pameran sempena sambutan HKN’23 di SICC, Kota Kinabalu.
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah berjaya mengadakan sambutan Hari Koperasi Negara 2023 (HKN’23) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, dari 21 hingga 23 Julai.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, keseluruhan program ini telah berjaya merekodkan prospek perniagaan sebanyak RM46.9 juta melalui 44 sesi padanan perniagaan.
Katanya, jualan koperasi/usahawan direkodkan berjumlah RM1,215,090, manakala MADANI berjumlah RM154,284 dan jualan food truck berjumlah RM101,459.
Keseluruhan jumlah jualan tunai berjumlah RM1,470,832.
“Jumlah pengunjung yang direkodkan sepanjang tiga hari penganjuran adalah seramai 10,069 orang,” katanya, sambil menambah sebanyak 219 reruai oleh agensi kerajaan, swasta, usahawan dan koperasi telah terlibat dalam karnival jualan dan gerai pameran.
Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya Pocket Talk, khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, Coop Explorace, Voice of Coop, Zumba,
Pertandingan Video Kreatif dan Bicara Perdana “Koperasi, Menjejak Berkah Menggarap Hikmat” dan Malam Kerohanian: Persembahan Nasyid dan Tarian Kebudayaan.”
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Pada tahun ini, Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran HKN 2023.
Tema Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23) adalah “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”.
Menghayati dan melaksanakan enam teras yang terkandung dalam konsep Malaysia Madani, KUSKOP yakin ia dapat mengangkat darjat gerakan koperasi ke tahap yang lebih maju dan makmur.
Sambutan BKK ini merupakan manifestasi apresiasi dan pengiktirafan Kerajaan kepada gerakan koperasi negara yang telah banyak menyumbang dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Madani di negara ini.
Pemilihan bulan Julai sebagai acara Sambutan BKK bukan sahaja menyorot sejarah pendaftaran koperasi pertama di negara ini, malah ianya selaras dengan pengisytiharan hari Sabtu Minggu Pertama Bulan Julai Setiap Tahun sebagai Hari Koperasi Antarabangsa (International Day of Co-operatives) oleh Perikatan Koperasi Antarabangsa (International Co-operative Alliance, ICA).
Pada tahun ini, Hari Koperasi Antarabangsa telah disambut pada 1 Julai 2023.
Sepanjang penganjuran tiga hari HKN’23, masyarakat setempat telah mendapat limpahan ekonomi daripada kehadiran anggota koperasi seluruh negara seperti industri perhotelan, pelancongan dan pengangkutan.
Selain daripada itu, gerakan koperasi seluruh negara berjaya meningkatkan rangkaian kerjasama dengan pelbagai pihak menceburi pelbagai aktiviti perniagaan dan meningkatkan pendapatan koperasi.
Statistik gerakan koperasi sehingga Disember 2022 adalah pengumpulan modal syer dan yuran adalah berjumlah RM17bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM160bilion.
Sementara itu, sumbangan perolehan koperasi mencecah RM45.5bilion. Ini menjadikan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta.
Majlis penutupan BKK’23 dijadualkan pada 30 Julai 2023 dan akan disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Anggaran jemputan adalah seramai 400 orang.