BANGKOK: Pemimpin parti Pheu Thai akan bertemu wakil dua parti politik dalam pentadbiran Prayut Chan o-cha bagi mendapatkan sokongan calon mereka sebagai perdana menteri Thailand yang baharu.
Pheu Thai yang diamanahkan membentuk gabungan pasca pilihan raya oleh sekutu politiknya bertemu parti Bhumjaithai dan Chat Thai Pattana, yang masing-masing mempunyai 70 dan 10 Ahli Parlimen untuk memastikan Pheu Thai mendapat jawatan eksekutif tertinggi negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, pemimpin Pheu Thai, Cholnan Srikaew dijadual bertemu pemimpin kedua-dua parti itu kelmarin tetapi enggan mendedahkan tawaran yang disediakan.
“Adalah ideal jika mereka bersetuju untuk menyokong kami tanpa menuntut untuk menjadi sebahagian daripada gabungan yang dibentuk,” katanya.
Bagaimanapun, pemimpin kedua-dua parti Bhumjaithai dan Chat Thai Pattana sebelum ini menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang mencampuri Perkara 112.
Lapor Thai PBS World, Cholnan mengakui bahawa pendirian parti Move Forward (MFP) dalam isu monarki adalah titik pedih yang perlu dibincangkan dengan Senator dan parti politik yang sedang didekati.
“Kita perlu mengetahui bagaimana isu ini boleh ditangani,” katanya tanpa menyatakan secara spesifik.
Sehingga kini, masih tidak jelas siapa antara tiga calon Perdana Menteri berkenaan yang akan diundi dalam Parlimen pada Khamis akan datang.
Dilaporkan, taikun hartanah terkenal, Srettha Thavisin disebut-sebut sebagai pilihan utama selain dua calon lain iaitu anak perempuan bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, Paetongtarn Shinawatra dan bekas Menteri Kehakiman, Chaikasem Nitisiri.
Pheu Thai kini mendahului membentuk gabungan dengan tujuh parti politik lain selepas pencalonan perdana menteri MFP, Pita Limjaroenrat ditolak Parlimen.
Cholnan berkata, jawatankuasa eksekutif parti akan membuat keputusan sehari sebelum pengundian.
“Pheu Thai akan cuba merayu kepada kedua-dua Ahli Parlimen dan Senator untuk memberi sokongan mereka terhadap calon perdana menterinya,” katanya.
Majoriti Senator menentang pencalonan Pita kerana pendirian partinya mengenai Perkara 112 atau undang-undang lese majeste yang didakwa disalahgunakan untuk menyasarkan penentang mereka yang berkuasa.
Dengan gabungan 312 Ahli Parlimen, Pheu Thai dan sekutu politiknya menguasai majoriti Dewan dengan selesa.
Bagaimanapun, sekiranya usaha itu gagal, Cholnan berkata, lapan parti dalam perikatan pimpinan Pheu Thai bersetuju bahawa mereka mungkin tidak lagi terikat dengan perjanjian persefahaman (MoU) dan ikut haluan masing-masing.