Muzium Marin Labuan berfungsi sebagai medium pendidikan tidak formal kepada generasi muda
LABUAN: Muzium Marin berfungsi sebagai jambatan penghubung ke zaman silam yang menawarkan perspektif unik mengenai aspek sejarah arkeologi perairan Labuan.
Menurut Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Senator Tan Sri Anifah Aman, Muzium Marin turut menjadi sumber pengetahuan ekologi dan membudayakan ekosistem marin negara.
“Melalui pelbagai pengisian pameran, program pendidikan jangkauan luar dan dalam serta inisiatif penyelidikan, muzium ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan marin yang menggalakkan amalan lestari.
“Muzium ini memainkan peranan penting dalam memupuk pemahaman dan penghayatan kita terhadap hidupan marin dan memberi impak yang sebenarnya melangkaui alam pendidikan kerana muzium berfungsi sebagai medium pendidikan tidak formal,”katanya semasa merasmikan Program Semarak @ Muzium Marin Labuan di sini pagi tadi.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama – sama menyahut dan memikul tanggungjawab sebagai penjaga lautan bagi memastikan generasi akan datang mendapat manfaat daripada lautan yang selamat dan kaya dengan hidupan marin.
“Kerjasama pelbagai organisasi dalam usaha dan inisiatif pemuliharaan marin dengan menyediakan pelbagai platform penyebaran maklumat adalah satu langkah yang proaktif bagi melibatkan masyarakat secara terus dalam pelaksanaan langkah – langkah pemuliharaan antaranya pembersihan dan pemulihan pantai serta pemantauan hidupan liar marin,”jelasnya lagi.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PL, Simsudin Sidek.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman, Jabatan Muzium Malaysia Razaimi Hamat dan Pengarah Muzium Labuan, Muhammad Azam Adnan.





























