Ruang sangkar besi di sebuah sekolah di Rembau yang yang didakwa tempat seorang murid tahun satu dikurung oleh seorang guru kerana kerana masalah disiplin dengan kejadian tersebut turut tular di media sosial.-Gambar/ihsan PDRM
REMBAU: Bapa kepada seorang murid sebuah sekolah kebangsaan di sini yang tular kerana mendakwa anaknya ‘dikurung’ di dalam ruang besi sekolah berkenaan telahpun memaafkan guru yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, polis telah membuat siasatan berhubung kes melibatkan murid tahun satu yang didakwa dikurung dalam sangkar besi dan turut membuat lawatan ke sekolah tersebut Selasa iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Astana Raja, di sini.
Jelas beliau, hasil siasatan pihaknya melalui pegawai perhubungan sekolah (PPS), Cawangan Khas dan Ketua Polis Balai Kota mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi Selasa.
Menurutnya, guru lelaki berusia 43 tahun tersebut telah mendenda murid tahun satu itu dengan mengurung di ruangan besi (sangkar) kerana masalah disiplin.
“Ruangan besi itu merupakan ruangan pameran Persatuan Pencegahan Dadah Sekolah. Pada pukul 9 pagi tadi (kelmarin), satu perjumpaan telah dibuat melibatkan pegawai pendidikan daerah, pihak sekolah dan keluarga mangsa yang turut dihadiri pihak polis.
“Hasil perjumpaan tersebut bapa mangsa telah menerima penjelasan oleh guru tersebut dengan baik dan telah memaafkannya.
“Kes ini telah diselesaikan antara pihak berkenaan dan tiada laporan polis yang diterima berkaitan kejadian tersebut setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Terdahulu tular di media sosial selepas seorang pengguna Twitter memuat naik tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp antara seorang bapa dengan guru di sekolah terbabit berhubung kejadian berkenaan.































