OTTAWA: Kawasan seluas kira-kira 27,000 kilometer persegi atau menyamai keluasan lebih lima juta padang bola sepak di Kanada direkodkan mengalami kebakaran, setakat tahun ini.
Menteri Kesiapsiagaan Kecemasan, Bill Blair, berkata kira-kira 500 kilometer (km) tanah terbakar bagi purata 10 tahun, menyaksikan ribuan penduduk terpaksa berpindah ke lokasi lain.
Beliau berkata, sebanyak 82 daripada 211 kebakaran hutan aktif di seluruh negara itu berada dalam keadaan tidak terkawal setakat Khamis selain memaklumkan 1,826 hutan di British Columbia, Alberta, Saskatchewan, Nova Scotia, New Brunswick dan wilayah barat laut, terbakar.
Selain itu, katanya, Kanada ketika ini berdepan situasi berbahaya akibat perubahan iklim dengan kekerapan dan tahap keterukan kejadian cuaca ekstrim dijangka terus meningkat di seluruh negara.
“Perkembangan mengenai kebakaran ketika awal musim tahun ini sangat membimbangkan,” katanya pada sidang media perkembangan situasi semasa kebakaran hutan.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan Nova Scotia adalah wilayah kedua selepas Alberta, yang menerima bantuan kebakaran daripada kerajaan, tahun ini.
Katanya, Kerajaan Persekutuan meluluskan permintaan Nova Scotia bagi bantuan persekutuan untuk sokongan dengan usaha tindak balas kebakaran hutan, termasuk kakitangan dan sumber pasukan Kanada.
Memetik laporan Xinhua, kerajaan Kanada menerusi kenyataan berkata kira-kira 20 juta dolar Kanada (RM68.36 juta) dikumpul menerusi program padanan derma kerajaan Alberta dan Bulan Sabit Merah bagi menyokong rakyat yang terjejas akibat kejadian terbabit.
Katanya, Kerajaan Kanada akan mewujudkan program padanan serupa dengan Nova Scotia menerusi Bulan Sabir Merah Kanada bersama wilayah barat laut melalui United Way.