Phoong Jin Zhe
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe berkata, momentum penerimaan pelaburan di Sabah dijangka akan terus meningkat pada tahun 2023.
“Ini dapat direalisasikan melalui usaha Kerajaan Negeri dalam menarik lebih banyak pelaburan terutamanya pelaburan berimpak tinggi menerusi strategi-strategi yang telah dirangka oleh Kementerian saya dan agensi lain yang berkaitan.
“Kementerian saya dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) telah mengenal pasti beberapa sektor pelaburan berpotensi tinggi yang boleh dimanfaatkan oleh Sabah.
“Ia termasuk pelaburan berasaskan teknologi hijau; pelaburan dalam industri hiliran berasaskan sumber tersedia di Sabah; pelaburan dalam industri tenaga boleh diperbaharui (renewable energy); dan pelaburan dalam industri berasaskan penggunaan tenaga yang rendah (Low energy intesity industry),” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Phoong berkata, bekalan air yang digunakan oleh pelabur adalah menggunakan sumber bekalan air yang sama dengan pengguna domestik iaitu bekalan air terawat yang mana sebahagian besar kilang-kilang pelabur ini hanya memerlukan air bersih tidak terawat.
Oleh itu, katanya, Jemaah Menteri pada 22 November 2022 telah meluluskan cadangan pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembekalan Industrial Water (air bersih tidak terawat) atau non portable water di taman-taman perindustrian oleh syarikat Jetama Sdn Bhd.
“Kajian ini sedang dijalankan oleh pihak Jetama dan dijangka akan siap pada tahun ini (2023).
“Sekiranya pembekalan industrial water ini dapat direalisasikan maka ianya sedikit-sebanyak dijangka mampu untuk mengurangkan masalah bekalan air kepada pengguna domestik di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sipitang,” kata beliau.
Menyentuh tentang isu pembangunan usahawan, Phoong berkata, Kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) komited dalam hal itu di Sabah.
“Misi Kementerian saya adalah untuk menggalakkan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai industri sokongan utama dan pemangkin kepada pembangunan industri pembuatan.
“Pelbagai program dan inisiatif telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini dan salah satu inisiatif yang telah dirancang adalah menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil yang bertujuan untuk menyelaras dasar dan halatuju pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil yang lebih inklusif antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Majlis ini akan menjadi platform rasmi bagi membincangkan usaha-usaha untuk merangka strategi dan menangani isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil di negeri Sabah,” kata beliau.
Menurut ADUN Luyang itu, keprihatinan Kerajaan Negeri kepada Usahawan PMKS di negeri Sabah menyaksikan jumlah peruntukan bagi Program SME-Up (BAIKS) pada tahun 2023 telah dinaikkan kepada RM15 juta.
“Kementerian saya melalui DIDR dapat membantu dalam Persijilan MeSTI dan Halal, bantuan mesin dan peralatan, peningkatan kualiti pembungkusan dan pendigitalan perniagaan.
“Kementerian saya juga akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dibawah pimpinan Datuk Ewon Benedick, dalam membangunkan usahawan-usahawan serta peniaga-peniaga kecil di Sabah,” kata beliau.
Beliau turut menyentuh tentang isu berkaitan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi pengekstrakan pasir silika di Sikuati, Kudat yang telah dibangkitkan oleh ADUN Kapayan dan ADUN Tanjong Kapor.
Menurut beliau, semua isu alam sekitar yang dibangkitkan oleh orang awam telah diambil kira dalam kajian EIA dan satu Jawatankuasa Penilai EIA yang terdiri daripada jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah ditubuhkan untuk menilai kajian EIA tersebut
“Pelaburan syarikat Kumpulan Kibing di Sikuati, Kudat adalah merangkumi pembinaan kilang pemprosesan termasuk pengekstrakan pasir silika serta jeti persendirian di Sikuati, Kudat.
“Pasir silika yang diekstrak dan diproses di Sikuati, Kudat ini akan dihantar ke KKIP bagi tujuan pembuatan kaca solar.
“Proses kajian EIA sememangnya telah melibatkan kajian impak alam sekitar yang komprehensif untuk kawasan persekitaran yang terlibat termasuk penduduk berdekatan,” kata beliau.
Phoong menambah, segala pelaksanaan projek mengekstrak dan memproses pasir silika ini adalah dipantau dan dikawal selia melalui Pelan Pembangunan (DP) dan EIA.
“Sebagai makluman, laporan EIA ini adalah bersifat dinamik dan boleh dipinda mengikut kesesuaian dan keperluan.
“Kementerian saya bersama agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga telah mengadakan sesi libat urus bersama penduduk kampung setempat pada 9 September 2022 yang bertempat di Pejabat daerah Kudat untuk memberi penjelasan lanjut berhubung laporan EIA tersebut.
“Penerangan ini merangkumi langkah-langkah mitigasi ke atas aktiviti pengekstrakan pasir silika serta rehabilitasi kawasan pengekstrakan tersebut,” kata beliau.
Selain itu, katanya, beliau sendiri telah mengadakan lawatan ke Sikuati, Kudat pada 18 Mei 2023 baru-baru ini untuk mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat mengenai perkara tersebut.
Dalam pada itu katanya, Laporan EIA ini adalah terbuka kepada orang awam dan boleh dirujuk di Pejabat Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS).