Kedua-dua tertuduh diiring keluar anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan membunuh seorang pengurus syarikat
MELAKA: Seorang ejen judi dalam talian dan pengawal peribadi berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh seorang pengurus syarikat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, A. Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36.
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama didapati melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki, M. Sandrasekaran, 33.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 3.30 pagi hingga 4.30 pagi di Jalan 3/25 Taman Kenanga dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Mei 2023.
Tertuduh boleh digantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha manakala tertuduh diwakili peguam Mathan Anandaram.
Pada 10 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, gara-gara bercakap mengenai saiz payudara seorang wanita, seorang pengurus syarikat maut ditikam dalam insiden pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Kenanga.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku selepas si mati yang dalam keadaan mabuk datang ke kedai berkenaan untuk makan dan minum bersama rakannya.