Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) bersama Toh Puan Norlidah (kiri) dan Tun Juhar (dua dari kiri) melihat demonstrasi seni ukir kayu Melayu.
LONDON: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin hadir memberi sokongan kepada Minggu Kraf London (LCW) Malaysia 2023.
Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni yang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari di sini, meluangkan masa mengunjungi pameran seni kraf warisan di Pavilion Antarabangsa Malaysia sempena program tersebut.
Berlangsung dari 8 hingga 14 Mei, pameran yang diketuai Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah itu mengangkat tema Abstract Nature (Abstrak Alam Semula Jadi) merangkumi seni dan kraf dari seluruh pelosok negara ini termasuk produk warisan kaum Melayu, Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan etnik Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Selepas diberi taklimat oleh Tunku Azizah, Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah kemudian melawat ke reruai yang mempamerkan seni songket Terengganu dan telepuk di samping produk seni warisan dari Negeri di Bawah Bayu yang mengetengahkan seni kraftangan anyaman Rinago (ribu-ribu) yang diusahakan oleh etnik Rungus di Kudat.
Selain itu, delegasi Sabah juga menampilkan keunikan anyaman tikar yang popular dalam kalangan etnik Rungus, Bajau Laut dan Iranun, manakala produk sirau oleh etnik Murut.
Antara yang turut serta dalam rombongan terbabit adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, Setiausaha Perhubungan TYT, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir.































