Shahelmey (lapan dari kiri) mengabadikan gambar kenangan bersama pengamal media.
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 pakej kerja dalam fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (LPBS) dijangka siap hujung tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, keseluruhan fasa I membabitkan 35 pakej kerja dengan pencapaian 15 pakej sedang dijalankan manakala 20 pakej lagi masih menanti kelulusan pelaksanaan.
“Pelaksanaan 15 pakej kerja dalam fasa satu yang sedang berlangsung kini mencapai kemajuan fizikal spada kadar 79.06 peratus secara keseluruhannya.
“Daripada keseluruhan pakej kerja tersebut, dua telahpun dibuka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya pada tahun lepas iaitu Pakej 27 menaik taraf Jalan Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32 dan Pakej 5 menaik taraf Jalan Donggongon ke Jalan Papar Spur.
“Dua lagi iaitu Pakej 15 menaik taraf Jalan Tawau Semporna dan Pakej 21 membina Jalan Lahad Datu Bypass dijangka akan dibuka sepenuhnya pada pertengahan tahun ini.
“Kita berharap 11 pakej yang sedang berlangsung dapat disiapkan sebelum hujung tahun depan dan baki 20 pakej kerja yang kebanyakannya terletak di Pantai Timur Sabah dapat dimulakan dalam tahun ini juga,” ujarnya sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Ramah Mesra Bersama Media di sini, pada Selasa.
Mengulas mengenai kesesakan lalu lintas akibat kerja-kerja pembinaan LPSB, beliau memaklumkan bahawa pelbagai aspek sebelum dan selepas pembinaan diambil kira antaranya pengurusan trafik.
“Walau bagaimanapun, berkemungkinan ada perancangan yang tidak dapat dicapai dan sedikit sebanyak mempengaruhi pengurusan trafik selain penyelenggaraan jalan raya dalam tempoh pembinaan yang juga menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas.
“Saya menyeru agar pihak kontraktor dan pemantau agar dapat memastikan aspek keselamatan jalan raya yang mendorong kepada kesesakan lalu lintas semasa tempoh pembinaan dapat dipatuhi,” tambahnya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya turut berharap semua pihak yang terlibat sama ada daripada Cawangan Projek Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR), juruperunding, kontraktor dan pihak-pihak utiliti yang berkaitan dapat bekerjasama agar pembinaan LPSB ini dapat disegerakan.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jurry, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Timbalan Pengarah Lebuhraya JKR, Ir. Mohd. Safri Abd. Habi dan Pengarah Projek 1 Projek LPBS, Ir. Sharifah Azlina.