Ruji (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Acryl (kanan) sebagai simbolik Perumahan Balai Polis Inanam siap untuk diduduki.
INANAM: Satu inisiatif berjumlah RM200 juta diluluskan bagi Projek Penyelenggaraan Kuarters Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM98.71 juta akan diberikan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk penyelenggaraan kuarters-kuarters PDRM di seluruh negara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM32.21 juta diperuntukkan kepada PDRM Negeri Sabah.
“Kementerian Kewangan menetapkan agar kesemua peruntukan pembaikan kuarters agensi KDN berjumlah RM200 juta ini dibelanjakan pada tahun ini juga dan tidak dibenarkan untuk dibawa ke tahun berikutnya seperti perbelanjaan pembangunan yang lain.
“Justeru, diharapkan agar pihak pengurusan PDRM dapat memuktamadkan projek-projek pembaikan yang akan dilaksanakan dan memulakan proses-proses kerja yang berkaitan dengan kadar segera,” ujarnya semasa menghadiri Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Perumahan Balai Polis Inanam di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sebanyak 29 butiran Projek Pembangunan Fizikal PDRM baharu diluluskan pelaksanaannya di bawah Pelan Pusingan 3 tahun 2023 oleh Kementerian Ekonomi dengan kos projek berjumlah RM1.09 juta.
“Daripada kelulusan tersebut, sebanyak tiga projek akan dilaksanakan di negeri Sabah iaitu Pos Pasukan Gerakan AM (PGA) sebanyak RM4.0 juta, pembaikan dan menaik taraf Kuarters Kediaman PDRM Sabah sebanyak RM4.88 juta dan satu projek PGA di bawah ESSCOM iaitu Pembinaan Pangkalan Bot Ronda Batalion 15 PGA di Sungai Seguntur, Sandakan berjumlah RM5.4 juta,” katanya.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali.































