Gambar hiasan
PETALING JAYA: Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar menerusi kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan swasta masih berada kajian untuk mengumpul segala pandangan daripada pelbagai pihak.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini tiada perkembangan terbaharu mengenai perkara itu dan beliau yakin pandangan daripada semua pihak akan membolehkan pihak Mara membuat keputusan yang tepat.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO mencadangkan supaya MRSM berbayar tersebut diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Katanya, cadangan itu diperoleh daripada beberapa pihak termasuk wujud permintaan daripada ibu bapa yang terdiri daripada golongan elit yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM.
Malah, kira-kira 30 peratus pelajar MRSM tersebut berkemungkinan disertai oleh pelajar daripada keluarga B40 yang mendapat tajaan daripada badan-badan korporat.
Walau bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat yang sebahagian besarnya tidak menyokong dengan mengatakan MRSM berbayar adalah tidak selari dengan tujuan penubuhan iaitu membantu golongan tidak berkemampuan dalam aspek pendidikan.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan bahawa penubuhan MRSM berbayar tidak akan menggunakan peruntukan daripada kerajaan.
Katanya, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM berbayar tersebut.































