Sekurang-kurangnya 54.5 peratus sekolah di Sabah disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera. – Shahelmey
KOTA KINABALU: Pembinaan sekolah dengan kemudahan lebih baik diperlukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.
Ini termasuklah pembinaan sekolah-sekolah baharu, penambahbaikan sekolah sedia ada dan pembelian peralatan serta perisian pendidikan terkini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pada 16 Julai 2020, Menteri Kanan (Pendidikan) pada ketika itu memaklumkan sehingga Mei 2020, sebanyak 414 sekolah di Sabah mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam yakni tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), manakala 52 sekolah mempunyai bangunan tahap skala impak tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Menurut rekod JPNS pada tahun 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di negeri Sabah. Namun daripada bilangan sekolah tersebut terdapat sekurang-kurangnya 54.5 peratus sekolah di Sabah disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.
Sebagai contoh, katanya, Sekolah Kebangsaan Tansau iaitu salah sebuah sekolah yang terdapat dalam Parlimen Putatan.
“Terdapat satu blok bangunan konkrit dua tingkat di sekolah ini yang menempatkan kelas-kelas pengajaran dan pembelajaran murid. Blok bangunan ini telah diisytiharkan sebagai tidak selamat oleh JKR sebanyak dua kali pada tahun 2015 dan 2022. Laporan ini telah dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan salinan kepada JPNS.
Namun begitu, sehingga kini tiada sebarang tindakan atau kerja-kerja pembaikan dijalankan. Hal ini menyebabkan murid-murid di terpaksa menggunakan blok bangunan kayu lain yang telah usang,” jelasnya.
Selain isu struktur sekolah yang daif dan tidak selamat, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah menekankan isu sekolah tumpang di Sabah.
“Sehingga tahun 2022, terdapat 23 sekolah di Sabah yang terpaksa beroperasi dengan menumpang di sekolah-sekolah lain. Justeru, saya memohon Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat semula isu ini dan mengambil tindakan penyelesaian segera,” katanya ketika membahas untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur malam tadi.





























