Pasukan bomba ketika melakukan operasi SAR. – Ihsan Bomba
TAWAU: Seorang lelaki maut dan seorang perempuan cedera selepas bot dinaiki mereka karam di sini kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kejadian berlaku di perairan Pulau Sebatik pada sekitar jam 11 pagi kelmarin.
Katanya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 11.07 pagi dan sepasukan tiga anggota diketuai Komander Operasi, PBKII KUP Haswansah Hassan bergegas ke lokasi.
Turut serta dalam operasi menyelamat termasuk lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lima anggota polis.
Setiba di lokasi sejauh satu kilometer dari BBP, didapati sebuah bot karam telah karam lima batu nautika dari jeti Sungai Melayu, katanya.
“Pihak APMM memaklumkan bahawa seorang mangsa, Lina Arifin telah dijumpai selamat dan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan seorang lagi mangsa, Abd. Rahim Kasil, 56 belum dijumpai.
“Pencarian dilakukan di perairan Sungai Melayu dan Pulau Sebatik. Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 6 petang kelmarin dan disambung semula pada pagi ini,” jelas beliau.
Tambah beliau, semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua, mangsa yang hilang telah dijumpai oleh penduduk kampung di hadapan Kg. Sungai lebih kurang 200 meter dari lokasi bot yang dilaporkan karam.
“Pihak APMM telah membawa mangsa ke Jeti Pelabuhan Perikanan Tawau Lama dan seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.





























