Lawatan Fadillah ke reruai pameran produk-produk koko.
KOTA KINABALU: Di bawah Pelan Strategik Lembaga Koko Malaysia (PSLKM) 2021-2025, Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyasarkan pencapaian RM 8 bilion melalui perolehan eksport, tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ke arah mencapai hasrat tersebut, LKM memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang akan menyediakan keperluan seperti mengenal pasti koperasi dan menggerakkan model latihan bagi menyokong aktiviti koperasi kluster koko.
“Kerjasama ini telah bermula sejak tahun 2021 apabila pihak Angkasa menyalurkan dana RM150 ribu untuk pembinaan dua mini pemprosesan koko masing-masing di Sabah dan Sarawak yang kini telah diguna pakai oleh petani koko.
“Pada tahun 2022, koko menyumbang RM7.82 bilion perolehan eksport negara iaitu meningkat berbanding RM6.87 bilion pada tahun 2021.
“Pada tahun ini pula, sasaran perolehan eksport adalah RM 8 bilion yang melibatkan seramai 242 usahawan telah mendaftar sebagai usahawan bimbingan LKM dalam pasaran domestik.
“Manakala, pada tahun 2022 jumlah pengeluaran adalah sebanyak 103 tan produk coklat bernilai RM6.8 juta,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi mendedahkan di sektor huluan koko, LKM menggalakkan pengeluaran biji koko premium dan tunggal asli (single origin) yang dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko pukal (bulk beans).
“Aktiviti pembangunan dan peningkatan pendapatan petani disokong oleh aktiviti koperasi kluster koko di tiga wilayah iaitu di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.
“Kluster koko menjalankan perniagaan di sepanjang rantaian koko daripada bahan mentah kepada juadah (farm-to-table) dan keuntungan akan diagihkan kepada anggota yang kebanyakannya adalah petani koko,” ujar beliau kepada media sempena Majlis Apresiasi LKM 2023 di sini, pada Isnin.
Pada majlis itu, Fadillah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Khidmat Bakti dan bakal pesara tahun 2023 dan 2024 kepada 36 kakitangan dan pejabat wilayah pantai barat Sabah.
Turut berlangsung, beliau turut menyempurnakan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi LKM bersama Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S Karunanithy yang disertai Timbalan Menterinya, Datuk Siti Aminah Aching, Pengerusi Lembaga Pengelola LKM, Datuk Matbali Musah, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Abdul Hadi Omar dan Ketua Pengarah LKM, Dr. Ramle Kasin.































