KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1 bagi 13 pakej yang sedang dalam pembinaan dan baki 20 pakej lagi yang masih belum dilaksanakan.
“Peruntukan yang adil, saksama dan berformula untuk projek pembangunan infrastruktur di Sabah. Penambahan projek pembangunan seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan capaian internet yang lebih luas adalah penting bagi meningkatkan akses dan mempermudahkan pergerakan rakyat serta mengembangkan perniagaan di Sabah,” kata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Beliau berkata demikian ketika membahas untuk menyokong titah Yang di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen Ke-15 di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau berkata, beliau menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan perasmian Kebawah Duli Tuanku menyentuh tentang projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Keprihatinan dan sikap cakna Kebawah Duli Tuanku inilah yang seharusnya menjadi tunjang pembangunan seimbang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, tambahnya.

Shahelmey Yahya
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo fasa 1 di Sabah merupakan lebuh raya tanpa tol dengan jajaran bermula dari Sindumin ke Tamparuli dan bersambung dari Ranau ke Tawau.
“Projek yang bermula pada tahun 2016 dibahagikan kepada 35 pakej pembinaan.
“Sebanyak 15 pakej pembinaan telah dimulakan pembinaannya. Dua daripada 15 pakej tersebut telah siap sepenuhnya,” kata Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah.
Menurut beliau, dua pakej lagi iaitu di Tawau dan Lahad Datu dijangka siap pada pertengahan tahun 2023.
“Baki 11 pakej dijangkakan siap pada tahun 2024. Adalah menjadi harapan besar bagi kami agar Kerajaan Persekutuan merealisasikan sepenuhnya Lebuh Raya Pan Borneo ini.
“Impak dan limpahan ekonomi lebuh raya ini kelak akan memacu pembangunan di Sabah dan menghubungkan bandar-bandar di Sabah dengan selesa dan selamat,” ujarnya.
Beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin bahawa terdapat juga keperluan mendesak untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan yang sudah berlubang-lubang dan melepasi jangka hayat reka bentuk.
“Justeru kami memohon agar pertimbangan pembangunan yang sesuai dengan Sabah diberi keutamaan,” katanya.



























