Ewon merakamkan gambar kenangan menandatangani plak dalam majlis perasmian Restoran Murni bersama ADUN Lumadan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Ruslan Muharam
BEAUFORT: Koperasi-koperasi khususnya di Sabah disaran untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan daripada agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Saranan ini datangnya daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang berkata, ini bagi mendapatkan Bantuan Pembangunan SKM atau Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) agar dapat mempertingkatkan lagi aktiviti perniagaan koperasi selaras dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021-2025.
“Ini terbukti dengan Bantuan TRANSFER SKM yang diberikan oleh SKM kepada Koperasi Wanita DUN Lumadan Beaufort Berhad berjumlah RM80,000 pada tahun 2022, untuk membuka Coop-Restoran sebagai aktiviti perniagaan koperasi yang seterusnya, di mana ianya menunjukkan koperasi sentiasa proaktif dan berusaha untuk mencari peluang-peluang terbaik dalam perniagaan.
“Seterusnya, bagi meningkatkan promosi, pemasaran dan pengiklanan produk, Koperasi Wanita ini juga menerima Bantuan Program Dagang Produk/Perhidmatan Koperasi Atas Talian (e-DAPAT) berjumlah RM18,000. Tahniah atas usaha berterusan untuk memajukan perniagaan koperasi,” katanya Ketika merasmikan pembukaan Restoran Murni milik Koperasi Wanita DUN Lumadan Beaufort Berhad di sini pada 29 Januari.
Yakin bahawa kejayaan sesebuah koperasi itu memerlukan komitmen, sokongan dan semangat kekitaan yang mengikat silaturrahim dalam kalangan semua anggota koperasi yang menjadi asas kekuatan kepada sesebuah koperasi, Ewon percaya kejayaan yang dapat dilihat pada hari tersebut dengan pembukaan Restoran Murni Koperasi Wanita Dun Lumadan Beaufort Berhad, yang merupakan aktiviti kedua koperasi selepas berjaya membuka Pusat Pengumpulan Produk IKS dan memperoleh pendapatan sebanyak RM840,000 bagi tahun 2022, merupakan satu contoh yang amat membanggakan dalam usia koperasi yang baharu setahun lebih beroperasi.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada kepimpinan dan anggota-anggota Koperasi Wanita DUN Lumadan Beaufort Berhad. Semoga kejayaan yang dicapai ini akan menjadi pemangkin dan inspirasi kepada semua koperasi yang berada di Daerah Beaufort ini dan dapat mencapai banyak lagi kejayaan yang muncul dan yang akan diraihkan selepas ini,” katanya.
Menurut beliau, KUSKOP melalui SKM dan juga Institut Koperasi Malaysia (IKMa), serta ANGKASA akan terus memperkasa dan melaksanakan transformasi sektor koperasi negara seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara.
“Saya yakin dan percaya gerakan koperasi di seluruh Malaysia akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sehingga Jun 2022 (perangkaan interim koperasi), bilangan koperasi yang berdaftar adalah sebanyak 14,975 koperasi dengan jumlah keanggotaan seramai 7.04 juta orang.
Dari segi modal syer/yuran keanggotaan, sejumlah RM16.5 bilion telah direkodkan dengan jumlah aset terkumpul sebanyak RM152 bilion.
“Manakala Data Perangkaan Koperasi Negeri Sabah setakat 30 Jun 2022 menunjukkan jumlah koperasi berdaftar adalah sebanyak 1,661 buah, dengan kekuatan anggota seramai 343,230 orang. Manakala syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220,523,696 juta, aset terkumpul bernilai RM822,575,410 juta. Manakala pencapaian jumlah perolehan adalah sebanyak RM268 juta,” jelas Ewon.
Beliau berkata, usaha-usaha berterusan perlu dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari.
Ini termasuk mewujud dan memperluaskan lagi jaringan perniagaan, berinovasi dalam pasaran serta menerokai sumber-sumber baharu yang boleh menambah nilai produk serta perkhidmatan sedia ada, tambahnya.





























