Masiung Banah
KOTA KINABALU: Amalan lapuk beberapa kerajaan Persekutuan lalu yang meminggirkan Sabah dan Sarawak dalam agihan peruntukan tidak patut diulang.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, amalan birokrasi bersiri Persekutuan sebelum ini menerusi pemberian bajet tahunan kepada kedua wilayah Borneo itu harus dihentikan setelah kewujudan Kerajaan Perpaduan sekarang.
Katanya, wujud kebenaran dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak terpinggir dari pemberian bajet kerajaan Persekutuan sebelum ini.
Menurut Masiung, eksploitasi terhadap Sabah dan Sarawak adalah kurang wajar berbanding jumlah sumbangan kerajaan bagi kedua wilayah itu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sebelum ini, jumlah bajet yang dibentangkan untuk Sabah dan Sarawak cuma sekadar petunjuk atas kertas sahaja.
“Hakikatnya, Putrajaya hanya menyalurkan peruntukan pada akhir tahun, menyebabkan bajet tidak sempat dibelanjakan dan terpaksa dibawa ke hadapan untuk dikitar semula pada tahun berikutnya.
Masiung memberi contoh, pada tahun 2021 Sabah diperuntukkan 5.1 bilion, tetapi Sabah hanya sempat membelanjakan 38 peratus dan sebahagian besar RM5 bilion dikitar pada tahun berikutnya,m.
Pada bajet tahun 2023, Sabah diperuntukkan RM6.3 bilion yang dikitar semula daripada peruntukan tidak terpakai tahun 2022.
Masiung berkata, biasanya bajet Persekutuan disalurkan pada hujung bulan September dan Oktober.
Tidak mungkin jabatan dan kementerian di Sabah dapat menyediakan dokumentasi tender dalam masa singkat, jelasnya.
Beliau berharap Kerajaan Perpeduan pimpinan Perdana Menteri yang baharu sekarang mengambil perhatian serius berhubung masalah tersebut setelah menyedari wilayah Sabah dan Sarawak telah lama dipinggirkan.





























