Ruslan (duduk, tengah) bersama para peserta kursus.
BEAUFORT: Mempelajari sesuatu bidang kemahiran dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, kerana itu Kerajaan sentiasa menyediakan peluang-peluang kepada golongan sasar, khususnya ibu-ibu tunggal dan mereka yang tergolong dalam kategori B40, untuk mendapat kemahiran yang dapat membantu dalam kehidupan mereka termasuk memberi sumber pendapatan.
“Ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk kita bersama-sama meningkatkan ekonomi melalui bidang kemahiran dan juga memulakan perniagaan sendiri,” kata beliau yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd ketika merasmikan kursus membuat kek, bun dan pastri, memproses dan memasak mee yang diadakan di dewan bangunan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) di sini dari 12-14 Jan.
Kira-kira 40 orang penduduk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut dan DUN Lumadan telah menyertai kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Sumber Manusia dengan kerjasama syarikat Kilang Mee Aniq Kampung Lumat.
Ia merupakan salah satu usaha membantu golongan sasar bagi meningkatkan kemahiran dalam pembuatan, kata Ruslan.
Sementara itu, seorang peserta Hableen @ Marciana Lawrence yang mewakili peserta berkata, dia menyertai kursus ini kerana minat dan betul-betul ingin belajar.
“Terima kasih kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia kerana memberi peluang kepada kami, masyarakat luar bandar yang berpendapatan rendah menyertai kursus ini,” katanya.
Menurutnya lagi, semasa kursus mereka juga berpeluang belajar mengunakan mesin manual dan automatik dalam kilang.
“Lepas daripada kursus ini, balik nanti kami akan terus berlatih lagi. Semoga apa yang telah dipelajari dapat membantu kita meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.































