Dr Jeffrey (tengah) di Majlis Makan Malam Wiranita STAR.
KOTA KINABALU: Kesatuan perjuangan rakyat dan pemimpin telah memperlihatkan perjuangan yang betul dan benar berjaya mengatasi cabaran ke atas kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, pelbagai cabaran dalam menentukan perjuangan rakyat tercapai menuntut kesatuan ahli-ahli parti menyokong perjuangan yang betul.
“Dalam menghadapi pelbagai cabaran, ahli-ahli parti harus bersedia memikul tanggungjawab mencari jawapan dan penyelesaian ke atas krisis yang dihadapi tanpa memikirkan sebarang alasan,” katanya.
Dr Jeffrey menjelaskan, kemampuan pemimpin dan rakyat Sabah berfikir secara waras untuk menolak dan menyokong apa yang patut telah dapat membantu barisan kepimpinan kerajaan negeri mengatasi krisis itu dengan baik.
Dr Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Wiranita STAR Sabah di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovea Ng yang juga Ketua Wiranita STAR, Pemangku Timbalan Presiden Datuk Kapitan Stephen Teo, Setiausaha Agung Datuk Edward Linggu, Naib Presiden merangkap Pengarah Strategi Dr Paul Porodong dan para penyumbang.
Menyentuh tentang majlis itu, Dr Jeffrey berharap usaha berkenaan dapat membantu sayap parti itu meningkatkan pendekatan kepada rakyat sambil menyifatkan wanita adalah pemimpin semulajadi kerana dalam keluarga wanita memikul banyak tanggungjawab.































