KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), Datuk James Ratib telah melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2023 peringkat Negeri Sabah yang telah diadakan di Pasaraya Bataras Kolombong, di sini.
Skim ini dikuatkuasakan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran.
Pelaksanaan skim ini juga sebahagian dari usaha prihatin kerajaan untuk menstabilkan harga ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan budaya menikmati skim ini dalam keadaan ceria dan harmoni.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Georgie Abas berkata, pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina tahun ini mulai dikuatkuasakan pada 15 Januari 2023 hingga 29 Januari 2023 dan tempoh pelaksanaannya adalah selama 15 hari iaitu, tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Pada masa yang sama, katanya, ayam dan telur sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan Penentuan Harga Maksunim Ayam Dan Telur Ayam (PHMAT).
Senarai barangan harga terkawal bagi SHMMP Tahun Baru Cina 2023 dan PHMAT adalah seperti berikut:
SHMMP Tahun Baru Cina 2023
(1) Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)
(2) Ubi Kentang Import (China)
(3) Bawang putih (China)
(4) Ikan bawal putih (berat antara 200gram hingga 400gram seekor)
(5) Udang putih (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram)
(6) Babi hidup (Kawalan diperingkat ladang sahaja)
(7) Daging babi (perut)
(8) Daging babi (daging dan lemak)
PHMAT
(1) Ayam hidup
(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
(4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
(5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
(6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
Georgie berkata, para pegawai penguat kuasa KPDN Sabah akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina 2023 serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang telah ditetapkan.
Pada masa yang sama, katanya, penguatkuasaan secara berhemah juga dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada para peniaga supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika.
Menurutnya, berdasarkan statistik pemeriksaan di bawah SHMMP 2023 yang bermula pada 15 Januari 2023, setakat ini sebanyak 111 premis telah diperiksa di seluruh Sabah dan tiada tindakan kes diambil.
Manakala bagi tahun 2022, katanya, sebanyak 4,667 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh Sabah bagi lima SHMMP iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas.
“Daripada pemeriksaan tersebut sebanyak 19 kes dihasilkan di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,130.85 dan nilai kompaun sebanyak RM2,100.00,” jelasnya.
Beliau mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Skim ini.
Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
i. Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
ii. kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
iii. Kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual
a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000; dan
b) syarikat; boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga. Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran aduan seperti berikut:
1) Whatsapp 019-279 4317 / 019-848 8000; 2) Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my; 3) Call Centre 1-800-886-800;
4) Emel: e-aduan@kpdnhep.gov.my ;
5) Ez ADU KPDN;
6) Hadir sendiri ke Pejabat KPDN yang berdekatan;
7) Pusat Arahan Penguat kuasaan (Enforcement Command Centre): 03 – 8882 6088 / 6245;
8) Surat Rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan; dan Bilik Gerakan KPDN Negeri (senarai nombor talian sila layari portal rasmi)































