Redonah bergambar kenangan bersama para pemenang.
KOTA KINABALU: Aktiviti Santai Bowling Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bukan sekadar medan beriadah, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim, memperkukuh semangat kekitaan dan membina kesatuan dalam kalangan anggota wanita.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, aktiviti sukan seperti bowling memberi peluang kepada anggota meluangkan masa bersama dalam suasana santai, selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, sukan juga mampu membentuk nilai positif seperti disiplin, kerjasama, semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi.
“Melalui aktiviti sukan, kita dapat mempamerkan nilai-nilai dan semangat kesukanan serta daya juang yang begitu baik.
“Pada masa sama, ia membantu melahirkan masyarakat yang cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya ketika program Santai Bowling Wanita Gagasan Rakyat di CP Bowl di sini, semalam.
Turut hadir Naib Ketua Wanita, Datuk Aziah Atoh; Penolong Setiausaha, Fahzrean Mohiddin yang juga Pengerusi Pelaksana Santai Bowling; serta Exco Wanita Gagasan Rakyat.
Redonah berkata, aktiviti riadah secara bersama turut memberi ruang kepada anggota Wanita Gagasan Rakyat untuk berinteraksi dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.
Katanya, hubungan yang kukuh antara anggota amat penting bagi memastikan gerak kerja Wanita Gagasan Rakyat terus tersusun dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada parti serta masyarakat.
“Sukan mengajar kita tentang disiplin, kesabaran, kerjasama dan semangat untuk terus berusaha walaupun berdepan cabaran.
“Nilai-nilai ini bukan sahaja penting dalam sukan, tetapi juga dalam kehidupan dan gerak kerja kita,” katanya.
Redonah berkata, program santai seperti itu akan diteruskan sebagai sebahagian usaha mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni, sihat dan ceria dalam kalangan anggota wanita.
Beliau berharap lebih banyak aktiviti riadah dan sukan dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan penyertaan Wanita Gagasan Rakyat dari seluruh Sabah.
“Kita bersukan, kita sihat dan pada masa sama kita mengeratkan hubungan. Semangat kebersamaan inilah yang perlu kita terus pupuk,” katanya.
































