KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) akan meneliti cadangan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan sektor ekonomi maritim.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, AI mempunyai potensi berimpak tinggi dalam pembangunan sektor ekonomi biru berasaskan hasil laut.
“Saya akan memanggil satu mesyuarat khas dengan pengurusan tertinggi Sedco berhubung cadangan UMS ini, selaras dengan komitmen agensi menerusi projek Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat (KBEIP),” katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi UMS, semalam.
Delegasi UMS diketuai Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Rayner Alfred dan Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Debit yang mengemukakan cadangan jaringan kerjasama inovasi AI antara Sedco dan UMS.
Menurut Masiung, UMS menerusi Malaysia AI of Excellence (MaiCoE) memainkan peranan signifikan dalam pelbagai inovasi berkaitan ekonomi maritim, pelancongan pesisir dan kepulauan secara digital.
Tegasnya, Sedco sebagai agensi pelaburan Kerajaan Sabah akan meneliti kepakaran dan teknologi UMS yang bersesuaian dengan program pembangunan Sedco yang sedang dan akan dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut Wakil Rakyat Kuamut itu, Sedco kini sedang menyusun kerangka bagi meletakkan Sabah sebagai hab ekonomi maritim berpusat di Kudat.
Masiung berkata, projek KBEIP yang dicadangkan di kawasan pantai timur itu akan berkonsepkan teknologi hijau serta memanfaatkan sumber laut yang penting bagi rantau Asia Tenggara.
































