Jamawi ketika ditemui media.
TENOM : Tenom berpotensi menjadi hab industri pertanian bagi kawasan pedalaman Sabah dengan memperluas aktiviti pemprosesan hasil komoditi tempatan kepada produk hiliran bernilai tambah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan kementeriannya untuk mewujudkan zon industri berasaskan pertanian di kawasan pedalaman selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Tenom mempunyai asas kukuh untuk dibangunkan sebagai hab industri pertanian pedalaman berikutan daerah ini mempunyai komoditi utama seperti avokado, kopi dan getah yang berpotensi dikembangkan melalui industri hiliran.
“Pembangunan industri hiliran turut dirancang di daerah pedalaman lain berdasarkan kekuatan komoditi masing-masing termasuk Keningau sebagai hab pemprosesan hasil tenusu dan daging lembu serta Tambunan bagi industri berasaskan halia.
“Matlamat kita ialah memastikan kawasan pedalaman mempunyai industri pertanian yang lengkap daripada pengeluaran komoditi sehingga pemprosesan produk hiliran.
“Apabila komoditi diproses menjadi produk bernilai tambah, harga dan pulangan kepada petani juga dapat ditingkatkan.
“Kalau kita lihat di kawasan pantai barat, kita ada Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) manakala di Pantai Timur ada Perindustrian Minyak Sawit (POIC).
“Jadi, kita mencadangkan kawasan pedalaman ini sebagai zon industri pertanian berdasarkan kekuatan hasil pertanian masing-masing,” katanya semasa ditemui media sempena persinggahan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di Unit Latihan Industri Asas Tani (IAT), Pejabat Pertanian Tenom di sini, pada Khamis.
Menurut Jamawi, kerajaan negeri telah memulakan langkah berkenaan menerusi pembangunan kilang memproses avokado di Kampung Bunut dengan peruntukan kira-kira RM2 juta.
“Avokado gred A dan B boleh dipasarkan atau dieksport, manakala gred yang tidak memenuhi spesifikasi pula boleh diproses menjadi produk hiliran.
“Dengan cara ini, kita bukan sahaja mengurangkan pembaziran hasil tetapi dapat meningkatkan nilai komoditi dan pendapatan petani,” jelasnya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab. Gulam dan Pegawai Penguasa Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Tenom, Justine John Koloni.






























