Shahelmey (empat dari kanan) selepas menandatangani buku catatan perjalanan KMJG.
PUTATAN : Masyarakat Putatan diseru menyemarakkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta menghayati sejarah kemerdekaan bagi memelihara perpaduan dan kedaulatan negara.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, usaha itu penting dalam menyemai semangat patriotisme dan memelihara perpaduan serta kedaulatan negara, khususnya dalam kalangan masyarakat setempat.
“Semangat patriotisme bukan sekadar luahan perasaan, sebaliknya perlu disemai, dihayati dan diterjemahkan melalui perbuatan termasuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang jati diri serta kedaulatan negara.
“Saya menyeru agar masyarakat, keluarga, komuniti, premis kerajaan, agensi swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya di Putatan, supaya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan hormat.
“Selain itu, Hari Sabah perlu diberi penghayatan kerana ia merupakan lembaran sejarah penting bagi Sabah apabila negeri ini mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1963 sebelum membentuk Malaysia pada 16 September tahun sama.
“Sebagai rakyat Sabah yang cintakan negeri ini dan juga negara Malaysia, kita perlu menghayati lembaran sejarah ini.
“Kita hargainya dan pelihara serta mengenal erti kemerdekaan dan titik perjuangan yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin dan nenek moyang kita yang terdahulu,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan, Hari Malaysia (HKHM) Peringkat Daerah Putatan di Dewan Sri Putatan, pada Rabu.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd berkata, Putatan berbesar hati sekali lagi menjadi lokasi pelaksanaan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 peringkat daerah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“Kami amat berbesar hati dengan adanya program ini dan juga sambutan daripada masyarakat tempatan yang nampaknya mempunyai rasa kecintaan, rasa kegembiraan menyambut Bulan Kemerdekaan terutamanya pada 31 Ogos, Hari Kebangsaan dan juga Hari Sabah,” jelasnya.
Pengisian program turut melibatkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) Peringkat Daerah Putatan, disusuli pelepasan KMJG 2026 serta pengisian Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) bersama Kluster Keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putatan dan Kluster Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Contoh.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya serta Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor.






























