KOTA KINABALU: Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri (M3PN) Sabah akan menjadi platform penyelarasan antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan penjaja bagi menangani isu serta memperkukuh pembangunan sektor berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata majlis itu berperanan sebagai forum rasmi untuk membincangkan pelbagai isu yang dihadapi penjaja dan peniaga kecil, selain mencari penyelesaian secara bersama.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) berkata kerjasama berterusan antara semua pihak, khususnya MINDET dan Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP), penting bagi memperkasakan golongan berkenaan.
“Saya berharap dengan kerjasama berterusan antara semua pihak terutamanya MINDET dan KUSKOP, kita dapat sama-sama memperkasakan para penjaja dan peniaga kecil di Sabah,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pertama M3PN Sabah di Shangri-La Tanjung Aru Resort, di sini, kelmarin.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Johnnybone Kurum, Setiausaha Tetap MINDET Datuo Thomas Logijin, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Sabah (G3PNS) Achmad Noorasyrul Noortaip, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta wakil persatuan berkenaan.
Mesyuarat itu membincangkan empat kertas, meliputi terma rujukan majlis oleh urus setia, sistem DataPPK dan isu pelesenan oleh G3PNS serta status pelaksanaan Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) oleh KUSKOP.
Ewon berkata sistem DataPPK telah menghimpunkan 16,608 rekod sejak diperkenalkan dan berfungsi sebagai sistem pendaftaran bersepadu bagi memudahkan usahawan mikro mendapatkan latihan, bantuan geran serta sokongan pengurusan perniagaan.
M3PN Sabah dianggotai 110 ahli, termasuk wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, pejabat daerah, PBT dan persatuan penjaja serta peniaga kecil dari seluruh Sabah.
Dalam pada itu, MINDET menganjurkan empat siri Mini Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Sabah bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan berkenaan.
Siri pertama diadakan di Beluran pada 14 dan 15 November lalu, diikuti Kota Marudu pada 21 dan 22 November, Putatan pada 28 dan 29 November serta Kadamaian, Kota Belud, pada 11 dan 12 Disember.
Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP Azizul Alias berkata peruntukan bagi Program Pembangunan Premis (Tamu Desa) disediakan ketika Ewon menerajui kementerian berkenaan.
Ketika membentangkan status pelaksanaan program itu, beliau berkata inisiatif berkenaan antara lain bertujuan menyediakan dan menaik taraf ruang niaga bagi memudahkan penjaja memasarkan produk serta membuka peluang kepada lebih ramai penduduk setempat menjana pendapatan.
Beliau turut memuji usaha Ewon membawa suara penjaja luar bandar ke peringkat kementerian, khususnya berkaitan keperluan menyediakan kemudahan perniagaan yang lebih baik.
Menurutnya, Sabah merekodkan 134 projek Tamu Desa dengan jumlah kos kontrak RM31.12 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026.
Kota Belud mencatat jumlah projek tertinggi sebanyak 29, diikuti Sook dengan sembilan projek dan Ranau sebanyak tujuh projek.
Bagi 2026, sebanyak 28 projek dengan kos kontrak RM9.62 juta direkodkan di Sabah. Daripada jumlah itu, 26 projek melibatkan 13 daerah dan daerah kecil diluluskan di bawah Inisiatif Bajet 2026.
Daripada 26 projek berkenaan, 17 telah siap sepenuhnya manakala sembilan lagi masih dalam pelaksanaan.
Dua projek lain dilaksanakan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu Tamu Desa Taman Puri Warisan di Inanam bernilai RM300,000 dan Tamu Desa Pekan Kinarut, Papar, bernilai RM299,500.
Secara keseluruhan, program Tamu Desa merangkumi 191 projek di Sabah dan Sarawak dengan jumlah kos kontrak RM41.92 juta, sekali gus memberi manfaat kepada 7,410 peniaga di kedua-dua negeri.






























